Halaman

02 December 2012

695 kes denggi di Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Sebanyak 695 kes denggi dilaporkan di seluruh Terengganu untuk tempoh Januari hingga 28 November lalu berbanding 612 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Anwa Sulaiman berkata, daripada jumlah tersebut, 649 kes yang direkodkan melibatkan demam denggi dan 46 kes melibatkan demam denggi berdarah.

"Walaupun peningkatan kes sebanyak 13.6 peratus namun untuk tahun ini tiada kes kematian akibat denggi dicatat setakat ini berbanding satu kes kematian berlaku pada tahun lepas.

"Berdasarkan kes denggi yang direkodkan oleh JKNT, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 255 kes, diikuti Besut (123), Dungun (103), Kemaman (87), Hulu Terengganu (56), Marang (49), dan Setiu (22),” ujarnya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Katanya, salah satu cara untuk mengatasi masalah denggi ialah melalui kesedaran dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat itu sendiri.

"Orang ramai hanya perlu meluangkan masa seminggu sekali dalam tempoh lebih kurang sepuluh minit dengan melakukan pemeriksaan di rumah, kedai, atau premis masing-masing untuk memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk.

"Selain itu, anggota masyarakat juga boleh mengadakan gotong-royong secara berkala mungkin sebulan sekali di taman perumahan atau kawasan pejabat umpamanya demi memastikan kebersihan kawasan terbabit terjamin dan bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk,” ujarnya.

Menurut Dr. Anwa, pihaknya akan mengenakan kompaun sebanyak RM500 sekiranya sesuatu premis itu dikenalpasti sebagai tempat pembiakan nyamuk.

Difahamkan, sehingga kini JKNT telah memeriksa 177,783 premis di seluruh Terengganu dan telah mengeluarkan sebanyak 1068 kompaun kepada premis yang didapati ada tempat pembiakan nyamuk dan berisiko membawa wabak denggi.