Halaman

06 December 2012

Biro Penerangan UMNO Besut anjur program “Amanat Presiden”



Oleh: Mohammad Ishak 

Biro Penerangan UMNO Bahagian Besut mengatur strategi selepas menerima suntikan semangat di Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini sebagai usaha meningkatkan semangat ahli terhadap perjuangan parti.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Biro itu, Ghazali Che Noh semalam memutuskan beberapa aktiviti yang bakal diadakan menjelang akhir tahun ini yang akan dijalankan oleh biro berkenaan.

Mendahului senarai aktiviti ialah penganjuran Program Amanat Presiden yang akan berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, pada 14 Disember ini.

Majlis yang dijangka disertai kira-kira 2,000 peserta mewakili pemimpin empat peringkat itu bertujuan menyampikan kandungan ucapan dan perbahasan perwakilan kepada ahli akar umbi yang tidak dapat hadir pada perhimpunan berkenaan.

Ghazali berkata, Ketua Umno Bahagian itu,Datuk Seri Idris Jusoh akan menyampaikan sesi taklimat amanat Presiden menggunakan multimedia bagi memberi kefahaman dan penjelasan kepada setiap pemimpin yang hadir.

Katanya, menerusi penerangan itu diharap ahli parti dapat menyelami apa yang diperkatakan oleh Presiden Umno,Dato’Seri Najib Tun Abdul Razak pada perhimpunan baru-baru ini untuk dipraktikkan oleh jentera parti terutama bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

Selain itu, katanya, biro berkenaan juga akan menganjurkan program temu mesra dengan semua bekas pemimpin parti semua peringkatdi bahagian itu dalam satu majlis makan malam hujung tahun ini.

Sebelum itu,kata Ghazali biro itu juga akan mengadakan sijil pentauliahan kepada kira-kira 500 penceramah tempatan yang akan berfungsi sebagai penceramah menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.