Halaman

05 December 2012

Empat jabatan mendapat penarafan empat bintang

Oleh: Suriati Ali 

Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama Dato' Haji Mazlan Ngah ketika menjawab pertanyaan wartawan ketika sidang media selepas mesyuarat mingguan exco tadi.
Kerajaan negeri memberi sumbangan RM80,000 kepada empat jabatan kerajaan Terengganu di atas kejayaan memperoleh penarafan empat bintang Anugerah Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Terbaik 2011 daripada Jabatan Audit Negara.

Empat jabatan itu adalah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Pejabat Perbendaharaan Negeri dan Pejabat Tanah Kemaman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dengan kejayaan itu, setiap jabatan layak memperoleh RM20,000 sebagai pendorong untuk terus kekal cemerlang.

Katanya, dengan pengiktirafan dan sumbangan yang dipersetujui ini, diharapkan banyak lagi jabatan lain tampil cemerlang, terutama bagi 11 pihak yang kini berada di taraf tiga bintang.

 “Untuk mendapat pengiktirafan empat bintang, setiap jabatan perlu memperoleh markah antara 90 hingga 100 peratus.

“Kebanyakan jabatan di negeri ini memperoleh penarafan dua bintang dan tiada pihak yang memperoleh satu bintang,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ahli-ahli Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu kira-kira 91,000 hektar kawasan di seluruh Terengganu akan diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Katanya, kawasan yang dikenalpasti paling luas adalah Gunung Tebu, Setiu dan beberapa lokasi di Hulu Terengganu.

 “Dalam tempoh terdekat 60,000 hektar lagi akan diwartakan selepas selesai kajian daripada pihak berkaitan,” katanya