Halaman

08 December 2012

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) gagal masuk Felda Selasih.



Oleh: Mohammad Ishak 

Peserta Konvoi Kembara Oren Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK) serta penyokong PAS menerima tampahan hebat apabila usaha mereka untuk masuk menyebarkan risalah di Felda Selasih, dekat Jertih,dihalang oleh peneroka Felda terbabit.

Kira-kira 200 peneroka termasuk isteri serta anak generasi kedua Felda Selasih berhimpunan secara aman dan menyekat kemasukkan konvoi di pintu masuk utama rancangan tanah berkenaan.

Peneroka menggunakan wanita sebagai benteng ketika membantah kemasukan 80 kenderaan pacuan empat roda yang menyertai konvoi kembara bermula dari Johor itu.

Mereka berkumpul sejak jam 3 petang bagi menghalang kemasukan konvoi yang turut disertai ahli Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa untuk masuk menyebarkan risalah dan berceramah di Felda terbabit.

Bagaimanapun,ketibaan konvoi membabitkan 200 peserta itu yang tiba di pintu masuk utama Felda itu kira-kira jam 5 petang dihalang oleh peneroka dengan alasan tidak memerlukan kehadiran konvoi berkenaan.

Konvoi itu diketui Presiden ANAK, Mazlan Aliman mengadakan rundingan dengan pihak Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Felda diketuai Pengerusinya,Alias Abdul Ghani, tetapi pihak JKKF tidak memberi kebenaran.

Selepas berunding kira-kira sejam akhirnya pihak ANAK terpaksa mengalah dan meneruskan konvoi ke Felda Tenang, Hulu Besut kira-kira jam 6.30 petang.

Halangan itu menyebabkan ANAK gagal meneruskan program untuk berceramah dan menyebarkan risalah menyebabkan kepada peneroka di Felda berkenaan.

Alias berkata, pihaknya tidak memerlukan kehadiran peserta konvoi itu kerana ia bermotif politik dan tidak mahu kehidupan peneroka di situ terganggu kerana ketika ini mereka hidup dalam keadaan selesa dan bersatu padu.

Sementara itu,Ketua Polis Besut,Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya turut menempatkan anggota polis bagi mengawal keadaan tetapi tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.