Halaman

02 December 2012

Serap 7 rukun kemenangan, Umno kekal memerintah

Oleh: Aida Abd Rahman

Tujuh rukun kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan parti itu kekal memerintah dalam tempoh lima tahun dan mendapat kejayaan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang digariskan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin :

1) Patuh kepada pemimpin 
2) Mengatur strategi dengan tepat 
3) Faham peranan dan tanggungjawab 
4) Kenali musuh lebih dekat 
5) Kejapkan perpaduan di semua peringkat 
6) Bersiap-siaga fizikal, mental dan rohani 
7) Berjuang habis-habisan

Tan Sri Muhyiddin berkata, patuh terhadap pemimpin merupakan satu perkara yang wajib dilaksanakan di mana setiap ahli harus akur dan menerima setiap keputusan pemimpin berkaitan PRU melibatkan tugas, tanggungjawab serta individu yang bakal dipilih sebagai calon pada PRU13 nanti.

 “Kita patut terima apa jua keputusan daripada pucuk pimpinan, laksanakan tugas dan tanggungjawab atau soal calon pilihan raya atau soal kawasan yang ditandingi di kalangan parti komponen BN.

 “Sebab itu kita perlu dengar dan laksanakan apa jua yang dikehendaki oleh parti. Ini adalah lambang dan keyakinan kita kepada pucuk pimpinan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Orang nombor dua parti itu turut mengingatkan mengenai cabaran yang harus direntangi semua ahli dalam PRU13 cukup hebat menuntut semua pimpinan dan ahli parti bekerja kuat sekiranya mahu menikmati kemenangan yang lebih besar.

Selaku Pengarah Pilihan Raya BN, beliau juga mengakui semua ahli parti sudah menjalankan tugas dengan komited dan kerja keras bagi merealisasikan hasrat memenangi PRU.

 “Kita sudah berada di peringkat terakhir dan cabaran dalam PRU13 kali ini penting. Selaku pengarah pilihan raya kita telah bekerja dengan begitu keras skali.

 “Saya telah turun di semua negeri untuk lihat apa yang berlaku diperingkat akar umbi. Saya sudah bekerja kuat, tapi saya lihat presiden kita sudah bekerja lebih kuat dan turun padang lebih kerap kepada saya untuk bekerja lebih keras,” katanya.

Beliau juga bertekad mengatur strategi dengan tepat bagi memastikan negeri dan kawasan yang dikuasai Umno kekal di tangan parti, sementara negeri dan kawasan yang tewas akan dirampas semula dengan kemenangan lebih besar.

“Kita perlu pertahan kerusi yang kita menangi, kekalkan kerusi ini ditangan BN. Pada masa sama, kita tebus semula kawasan-kawasan yang kita tewas dalam PRU akan datang.

“Pimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan perlu menyampaikan maklumat dan perkara yang telah diputuskan di peringkat pusat dan negeri disampaikan kepada ahli diperingkat akar umbi bagi memastikan kita raih kemenangan besar dalam PRU13,” katanya.

Tan Sri Muhyddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ahli parti perlu faham dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan serta mengenali musuh supaya musuh tersebut dapat diatasi.

 “Kenali siapakan musuh kita. Kita perlu tahu PAS kuda tunggangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Siapa musuh kita? Musuh kita PKR, DAP yang rasis.

“Selain kita kenali nama mereka, kita perlu tahu pergerakan mereka di peringkat nasional dan bahagian. Jangan benar mereka tembusi kawasan kita. Sebab itu kita perlu ada kubu yang kukuh dan ampuh,” katanya.

 Justeru, beliau mahu pimpinan dan ahli parti rapatkan barisan dengan menyelaraskan tindakan di semua peringkat.

Gesaan itu turut menyentuh supaya semua sayap parti, Pemuda, Wanita dan Puteri melangkah seiringan dan sederap supaya mengeratkan perpaduan dan mengelakkan perbalahan sesame sendiri yang boleh menjejaskan keutuhan parti.

“Pemimpin parti di semua peringkat jangan timbulkan isu-isu baru supaya kita tidak lagi lemah dan pengundi yakin dan lihat Umno dan BN lihat kita sebuah parti yang terus kukuh dan kuat. Kita perlu berpegang teguh dan jangan bercerai berai,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin juga mahu semua pimpinan berada dalam keadaan siap siaga bukan sahaja daripada aspek fizikal tetapi mental dan rohani bagi memastikan setiap tentangan dapat diharungi dengan lancar dan berkesan.

 “Saya percaya PRU 13 lebih besar cabarannya. Persiapan akal fikiran, kesihatan tubuh badan sangat penting dan kita boleh jangka bila pembangkang akan serang kita.

 “Kita perlu pastikan bilik gerakan, di semua peringkat digerakkan bermula pada hari ini hinggalah pilihan raya diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

 Akhirnya, beliau menyeru ahli Umno agar berjuang habis-habisan hingga saat-saat akhir PRU13. Beliau mengingatkan ahli parti bahawa pembangkang juga mula gementar dengan cabaran PRU yang cukup mencabar kerana itu semua ahli parti harus kental dan berani berdepan dengan setiap penjuru PRU13.

Timbalan Presiden Umno itu juga menggesa ahli parti mempertahankan semangat juang yang kental, panji-panji Umno tidak tersungkur sebelum tiba masanya dan panji-panji Umno bangkit dalam menegakkan perjuangan.