Halaman

02 December 2012

Taat kepada pemimpin demi kemenangan parti – Najib

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib

Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najid mengemukakan soalan cepumas kepada perwakilan Umno 2012 yang berakhir petang semalam, berbunyi “Kalau anda tidak terpilih sebagai calon, adakah anda akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih Umno dan BN (Barisan Nasional) ?”.

Secara sinis, beliau mengemukakan lima jawapan kepada soalan tersebut untuk dipetimbangkan jawapannya oleh perwakilan dan semua ahli Umno, iaitu akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih, sokong, tak bekerja, sabotaj dan lompat parti.

Dalam hal ini, tentunya jawapan yang paling dikehendaki oleh pucuk pimpinan Umno ialah saya akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih walaupun saya tidak menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) nanti.

Presiden parti menjelaskan ada sedikit kebimbangan di hati beliau iaitu masalah sesama ahli Umno, termasuk kemungkinan berlaku sabotaj jika mereka tidak terpilih sebagai calon.

Ini merupakan masalah yang berlaku sejak dulu dan sering menjadi ‘duri dalam daging’ kepada parti setiap kali menghadapi pilihan raya.

Pada ucapan perasmiannya, Perdana Menteri ada menyebut bahawa pilihan raya kali ini luar biasa dan menuntut komitmen penuh daripada pemimpin dan penyokong Umno bagi menafikan hasrat pembangkang menawan Putrajaya.

Setiap pemimpin dan hali Umno perlu menanam dalam hati mereka jawapan “saya akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih walaupun saya tidak menjadi calon’” bagi memastikan kemenangan calon-calon Umno dan BN.

Mereka perlu berkorban jiwa dan raga, malah harta benda bagi memastikan kemenangan calon Umno dan BN pada PRU 13.

Bak kata Dato’ Seri Mohd Najib pakatan pembangkang tidak kuat dan beliau yakin pengundi akan memihak kepada Umno dan BN pada pilihan raya akan datang.

Ketiga-tiga sayap parti pula, Wanita, Pemuda dan Puteri telah menyatakan komitmen mereka untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir pada PRU 13 bagi memastikan kemenangan Umno dan BN.

Mereka sanggup berada di barisan depan apabila semboyan dibunyikan bagi memanstikan hasrat pembangkang menguasai Putrajaya tidak akan dicapai.

Sekarang ini terpulang kepada para pemimpin Umno dan penyokong mereka untuk membuat keputusan sama ada memilih jawapan yang boleh memenangkan parti atau menjahanamkan parti selepas nama-nama calon dimumumkan nanti.

Kita yakin pemimpin Umno, khususnya di kalangan mereka yang sudah menjadi wakil rakyat sama ada di peringkat DUN atau Parlimen akan memilih jawapan yang memenangkan parti seandainya nama mereka tidak dicalonkan semula pada PRU 13.

Atas semangat cintakan Umno dan BN, mereka tidak akan tergamak mensabotaj parti jika nama ‘tidak naik’ kali ini.

Jika itu jawapan yang pasti, tidak syak lagi Umno dan BN bukan saja akan menang pada PRU 13, tetapi dapat menguasai majoriti dua pertiga.

Mereka perlu menghayati permintaan Presiden Umno yang berbunyi “Demi Islam, demi Melayu, demi bumi bertuah kita, demi anak cucu kita, kita mesti setia pada perjuangan Umno, demi kedaulatan dan kesucian agama Islam kerana Umno mempertahankan Islam.

Kita mesti taat kepada pemimpin parti demi kemenangan parti kerana hanya Umno membela rakyat,”. Kata-kata keramat ini perlu ditanam dalam setiap hati pemimpin, ahli dan penyokong Umno bagi memastikan Umno dan BN menang dalam pilihan raya akan datang.