PENANGGUHAN kenaikan cukai pintu dibuat bagi memastikan
penduduk mendapat perkhidmatan yang setimpal dengan cukai yang dibayar, kata
Menteri Besar, Dato’ Hj Ahmad Razif Abdul Rahman.
Katanya, selagi penduduk didapati tidak mendapat perkhidmatan
yang setimpal dari pihak berkuasa tempatan, selagi itu kenaikan cukai pintu
ditangguhkan sehinggalah apabila perkhidmatan baik yang dapat diberikan kepada
pendudukan dalam kawasan perbandaran atau bandaraya.
“Rakyat
tidak perlu risau kerana kerajaan negeri akan membuat keputusan dengan
mengambil kira kebajikan rakyat serta melihat kewajaran untuk menaikkan kadar
cukai pintu ini,” katanya.
Beliau
hairan kenapa pembangkang berarak membuat bantahan kenaikan sedangkan beliau
telah mengumumkan penangguhan.
“Apabila
pegawai saya bertanya kepada mereka berkaitan ini, mereka kata saja datang hendak kenal
Menteri Besar baru” kata Dato’ Hj Ahmad Razif.
Beliau
berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat Umno
Bahagian Kuala Nerus di bangunan Umno berkenaan di Pekan Batu Enam, Kuala
Terengganu.
Ketua
Penerangan Umno Bahagian Kuala Nerus merangkap Setiausaha Politik Kepada
Menteri Besar, Ustaz Rusdi Muda mengetuai solat hajat dan tahlil.
Seramai
kira-kira 500 orang hadir di majlis itu yang turut dihadiri oleh Pegawai
Pembangunan Parlimen Kuala Nerus merangkap Timbalan Ketua Umno Bahagian
berkenaan, Dato’ Basir Ismail. Dato’ Hj Ahmad Razif adalah Ketua Umno Bahagian
tersebut.
Dato’ Hj Ahmad Razif sebelum iniberkata, pihaknya sedang memperhalusi
dan menyemak semula cukai pintu itu selain membuat kajian berasas kepada
beberapa pilihan.
“Kita
dapati banyak kesilapan pemahaman berkaitan isu cukai pintu ini. Sebenarnya,
dari segi tarif atau kadar peratusnya tidak naik tetapi tetap kekal sebagaimana
tahun 1981.
“Cuma
penilaian sahaja akan disemak semula berdasarkan penilaian semasa supaya ia
bersesuaian dengan keadaan sekarang,” ujarnya.
Menyentuh
tentang lawatan beliau ke daerah-daerah, Menteri Besar terlebih dahulu memberi
peluang dalam tempoh tiga bulan bagi Majlis Perundingan Daerah untuk
menyediakan plan aspirasi rakyat di daerah masing-masing untuk disampaikan
kepadanya dan juga Pusat Transformasi Rakyat (Putra) di Pejabat Menteri Besar.
“Apa
yang penting setiap pembangunan mestiah memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat,”
katanya.
Beliau
meminta supaya segala perkara-perkara yang telah berlalu sebelum ini dibiarkan
berlalu dan menekankan supaya perpaduan dijadikan asas utama dalam perjuangan
Umno, termasuklah di Bahagian tersebut.
“Kemenangan
besar BN pada 2014 adalah hasil dari perpaduan jitu di semua peringkat dan
marilah kita ulangi perpaduan yang kental itu bagi menghadapi Pilihanraya Umum
ke 14 dan saya kebetulan adalah Menteri Besar Terengganui ke 14,” katanya.
Katanya,
hanya dengan senjata ‘perpaduanlah’ kita boleh mendapat kemenangan yang besar
di mana sasarannya dalam PRU 14 ialah mengambil balik semula kawasan-kawasan
yang kalah di Parlimen Kuala Nerus, Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh, Bukit
Tunggal dan Telok Pasu kerana setimpal dengan kedudukan Kuala Nerus sebagai
kawasan Menteri Besar.
“Walaupun
saya baru 24 hari menjadi Menteri Besar, tetapi terasa bagaikan tiga bulan dengan
kesibukan, kesuntukan masa dan berkejar ke sana dan ke mari,” katanya.
Sambil
bergurau beliau berkata, “sehinggakan ada yang mencadangkan saya memakai ‘pampers’
kerana tidak sempat untuk ke bilik air” .
Sementara
itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian merangkap Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala
Nerus, Dato’ Basir Ismail melahirkan ucapan penghargaan kepada Menteri Besar
baru itu yang telah membuat dua keputusan besar iaitu pertama mengembalikan
peruntukan pembangunan di kawasan yang BN tewas dan keduanya menangguhkan
kenaikan cukai pintu.
“Sebenarnya
itulah yang dihasratkan oleh penduduk dan penyokong Umno yang banyak dilahirkan
hasrat itu melalui usul-usul dalam mesyuarat agung Umno cawangan baru-baru ini,”
katanya.
Selain
itu, beliau menyampaikan hasrat pemuda supaya Kerajaan Negeri memberi penekanan
kepada pembinaan dan pemilikan rumah-rumah mampu milik untuk generasi muda yang
baru berumah-tangga kerana itu adalah suatu keperluan asas bagi mereka.
“Apa
pun pembangunan yang hendak dijalankan, kekuatan orang Melayu perlu
dipertahankan supaya tidak sampai dipinggirkan” kata Dato’ Basir ketika membuat
ucapan alu-aluan di majis tersebut.