Halaman

27 May 2009

Pelajar Dan Guru Terima E-Book

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Seramai 23,191 pelajar tahun lima dari 347 sekolah seluruh negeri akan mula mendapat bekalan e-Book yang akan diagih ke sekolah-sekolah mulai minggu depan.

“Seramai 3,831 guru kelas Tahun Lima turut dibekalkan buku digital ini,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada majlis Pelancaran e-Book di sekolah-sekolah negeri Terengganu di Dewan Tengku Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (26 Mei).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazan Che Mat; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.



Menteri Besar berkata, dengan kerjasama Syarikat Top IT yang memasang program interaktif, guru Tahun Lima boleh mengawal secara talian terus dengan pelajar-pelajarnya dan boleh menutup serta membuka e-Book ketika sesi pembelajaran sedang berjalan.

“Sesungguhnya negara maju hari ini bukan lagi yang mempunyai hasil bumi yang banyak ataupun berdasarkan keluasan yang besar, tetapi mempunyai masyarakat yang inovatif, kreatif serta bermaklumat melalui penguasaan dalam bidang IT,” katanya.



Oleh itu, katanya, kerajaan mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dengan mencorakkannya mengikut arus perubahan dunia iaitu pendidikan awal penguasaan IT kepada anak-anak negeri ini.

“Kita yakin bahawa prasarana yang kondusif adalah penting bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik tetapi turut membangun minda serta sahsiah sebagai persediaan menghadapi cabaran global,” katanya.

Katanya, kejayaan mengeluar dan mengagihkan e-Book kepada pelajar Tahun Lima begitu bermakna hasil kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Intel, buku digital ini berjaya dilancarkan.

Beliau berharap pencapaian anak-anak negeri ini terus meningkat pada masa akan datang di mana proses inovasi dan kreatif dalam pelajaran akan membantu mereka lebih berminat untuk mengulangkaji pelajaran.

“Di samping memberi keselesaan dan keyakinan sebagai seorang pelajar tujuan kerajaan juga membantu meringankan beban mereka yang perlu membawa beg yang berat ke sekolah,” katanya..

Kata Dato’ Ahmad sebagai permulaan 25,000 unit e-Book yang dilengkapi dengan pelbagai perisian buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan seperti al-Quran, doa-doa dan amalan solat.

‘Kerajaan membelanjakan RM15 juta untuk program ini dan menganggapnya sebagai satu pelaburan jangka panjang di mana hasilnya nanti akan melahirkan anak-anak Terengganu yang celik komputer dari seawal bangku sekolah rendah,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Terengganu Tuan Rumah Sepak Takraw

Oleh : SURIATI BINTI ALI



Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan sukan dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta insentif bertujuan mengalakkan orang ramai, terutama belia menceburi bidang itu.

Langkah itu bukan sekadar untuk mengharumkan nama Terengganu dan negara tetapi lebih penting menarik minat golongan muda untuk menyertai pelbagai aktiviti sihat sekaligus mengelak gejala sosial dan jenayah.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri berharap kecemerlangan sukan akan berterusan sehingga berjaya mencipta nama di peringkat negeri, negara dan seterusnya antarabangsa.

Katanya, oleh itu, ibu bapa disaran untuk bersama-sama memberi galakan, semangat dan motivasi supaya anak masing-masing terus melakukan yang terbaik serta mencapai kegemilangan.



“Jika mereka mempunyai displin tinggi dan bermotivasi dalam bidang ini, anak-anak kita mampu menjadi duta kecil negara melalui bidang sukan dan jasa mereka akan dikenang hingga akhir hayat.

“Umum mengetahui, suatu ketika dahulu kegiatan sukan dilihat sebagai perkara pasif dan tidak mendatangkan sebarang faedah tetapi selepas sokongan padu daripada kerajaan tanggapan itu kini sudah berubah,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Dunia Kali Ke-3 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (25 Mei).

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Pengerusi Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Encik Alias Ismail serta Naibnya, Dato’ Tengku Muhamad Sir Abu Bakar dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Terengganu, Tuan Haji Mohd Shapian Ali.

Kejohanan berlangsung selama tujuh hari di Stadium Negeri Kuala Terengganu itu membabitkan 11 pasukan dari pelbagai negara. Tujuh daripada negara itu turut menghantar pasukan wanita.



Antara negara itu adalah China, Taiwan, Iran, India, Pakistan, Thailand, Vietnam, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri bangga kerana penganjur memilih Terengganu sebagai lokasi kejohanan dan oleh itu, pihaknya akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin bagi meletakkan sukan itu antara yang terbaik.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Pemeriksaan Awal Dapat Cegah Penyakit

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Haji Khazan melawat pameran pada Program Kem Kesihatan di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit. -Foto Ihsan SINAR HARIAN

Badan yang sihat dapat melahirkan pemikiran baik dan boleh menjalani kehidupan yang lancar, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

“Mengawal lebih baik daripada mengubati dan pemeriksaan awal dapat mencegah penyakit daripada terus merebak,” katanya pada majlis perasmian Program Kem Kesihatan di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Setiu (23 Mei).

Turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, To’ Puan Dr. Rahmah Elias dan Pakar Perubatan Keluarga, Kelinik Kesihatan (KK) Batu Rakit, Dr Azlin Ahmad.

Katanya, masyarakat perlu diberi pendedahan mengenai bahaya penyakit berjangkit dan penjagaan kesihatan di peringkat awal penting bagi mengelak daripada dijangkiti penyakit merbahaya.

“Dengan adanya program seumpama ini orang ramai berpeluang untuk mengenali ubat-ubatan yang boleh dan tidak boleh diambil serta dapat membuat pemeriksaan kesihatan tanpa perlu pergi ke klinik atau hospital,” katanya.

Kem kesihatan yang bermula seawal jam 7.30 pagi dengan acara senamrobik, turut mengadakan pameran kesihatan, farmasi, kenali penyakit merbahaya dan pemeriksaan kesihatan termasuk pap smear.

Lebih 600 penduduk kampung sekitar iaitu Kampung Bukit Nenasi, Gong Lingai, Lingai dan Bukit Wan hadir ke program anjuran KK Batu Rakit dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat pentingnya menjaga kesihatan.

Majlis turut diserikan dengan permainan gasing, pertandingan mewarna kanak-kanak tabika dan cabutan bertuah yang diakhiri dengan jamuan makan tengahari.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

24 May 2009

Sejarah Batu Bersurat

Batu ini dikatakan telah disedari oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari iaitu seorang ahli perniagaan. Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya diatas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah di persembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III dan kemudian batu itu diletakkan diatas Bukit Puteri.

Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S. Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan. Batu itu telah patah sebahagian disebelah atasnya dan ditulis didalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 Hijrah.

Pada tahun 1923, batu ini dipinjamkan ke Muzium Singapura sehingga Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, batu bersurat tersebut telah dipulangkan ke Kuala Lumpur dari Muzium Raffles Singapura.

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat tersebut untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu

22 May 2009

Batu Bersurat Terengganu



Batu Bersurat Terengganu kini telah berusia hampir 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.