Halaman

Showing posts with label takraw dunia ke 3. Show all posts
Showing posts with label takraw dunia ke 3. Show all posts

27 May 2009

Terengganu Tuan Rumah Sepak Takraw

Oleh : SURIATI BINTI ALI



Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan sukan dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta insentif bertujuan mengalakkan orang ramai, terutama belia menceburi bidang itu.

Langkah itu bukan sekadar untuk mengharumkan nama Terengganu dan negara tetapi lebih penting menarik minat golongan muda untuk menyertai pelbagai aktiviti sihat sekaligus mengelak gejala sosial dan jenayah.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri berharap kecemerlangan sukan akan berterusan sehingga berjaya mencipta nama di peringkat negeri, negara dan seterusnya antarabangsa.

Katanya, oleh itu, ibu bapa disaran untuk bersama-sama memberi galakan, semangat dan motivasi supaya anak masing-masing terus melakukan yang terbaik serta mencapai kegemilangan.



“Jika mereka mempunyai displin tinggi dan bermotivasi dalam bidang ini, anak-anak kita mampu menjadi duta kecil negara melalui bidang sukan dan jasa mereka akan dikenang hingga akhir hayat.

“Umum mengetahui, suatu ketika dahulu kegiatan sukan dilihat sebagai perkara pasif dan tidak mendatangkan sebarang faedah tetapi selepas sokongan padu daripada kerajaan tanggapan itu kini sudah berubah,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Dunia Kali Ke-3 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (25 Mei).

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Pengerusi Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Encik Alias Ismail serta Naibnya, Dato’ Tengku Muhamad Sir Abu Bakar dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Terengganu, Tuan Haji Mohd Shapian Ali.

Kejohanan berlangsung selama tujuh hari di Stadium Negeri Kuala Terengganu itu membabitkan 11 pasukan dari pelbagai negara. Tujuh daripada negara itu turut menghantar pasukan wanita.



Antara negara itu adalah China, Taiwan, Iran, India, Pakistan, Thailand, Vietnam, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri bangga kerana penganjur memilih Terengganu sebagai lokasi kejohanan dan oleh itu, pihaknya akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin bagi meletakkan sukan itu antara yang terbaik.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu