Halaman

27 September 2010

Tindakan Ganas Mat Rempit Terhadap Polis Membimbangkan

KUALA TERENGGANU, 26 Sept (Bernama) -- Tindakan agresif sesetengah pihak terutama golongan muda yang terlibat dalam gejala rempit terhadap polis kini semakin membimbangkan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kumpulan 'mat rempit' termasuk yang disertai golongan remaja bawah umur bukan sahaja tidak menghormati peraturan malah dilihat semakin berani melanggar undang-undang.

Menurut beliau, ia kini menjadi fenomena serius dan merupakan cabaran yang perlu ditangani pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara.

"Kini anggota (polis) terpaksa berhadapan dengan tindakan ganas sekumpulan masyarakat yang tidak hormat undang-undang ini. Saya telah arahkan semua kontinjen memberi perhatian serius dalam menangani perkara ini," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini Ahad.

Beliau sebelum itu melawat dua anggota polis yang terlibat dalam kemalangan yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Ismail turut diiringi Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Konstabel Arizan Mohamad, 24, berasal dari Sarawak, patah tulang selangka kiri dan juga tulang kaki kiri selain menerima 10 jahitan di kepala akibat rempuhan sebuah motosikal dan kini masih menerima rawatan di HSNZ.

Kejadian berlaku pada kira-kira 11.30 malam 15 Sept lepas semasa Konstabel Arizan bersama 15 anggota dan pegawai polis sedang membuat sekatan jalan raya di Jalan Masjid Zainal Abidin di sini.

Anggota itu dirempuh motosikal yang dinaiki dua remaja yang cuba untuk membolosi sekatan polis.

Sementara itu Konstabel Mohd Hishamudin Shafiee, 23, pula dimasukkan ke hospital sama setelah mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri semasa mengikuti program gotong-royong di Balai Polis Cabang Tiga di sini pada 17 Sept lepas.

Sementara itu, beliau berkata pelancaran akaun laman sosial popular Facebook milik PDRM bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara pasukan itu, media dan masyarakat.

Katanya, laman sosial Facebook itu merupakan usaha terbaru pasukan itu menyampaikan perkhidmatan seiring dengan perkembangan semasa.

-- BERNAMA

Pemenang Pingat Emas Sukma Dari Terengganu Makan Angin Ke Guangzhou

KUALA TERENGGANU, 26 Sept (Bernama) -- Semua atlet Terengganu yang menyumbangkan pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2010 akan berpeluang menyaksikan Sukan Asia di Guangzhou, China bulan depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Rosdi Awang berkata ia merupakan satu insentif daripada kerajaan negeri selepas Terengganu muncul juara pada sukan dwitahunan itu.

"Tujuan kita untuk memberi pendedahan kepada atlet-atlet berkenaan untuk menyaksikan sukan Asia di samping menimba pengalaman," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri MSNT di sini Ahad.

Katanya, pada Sukma Melaka, Terengganu berjaya merangkul 47 pingat emas untuk muncul juara buat tahun ketiga berturut-turut.

Rosdi berkata kehadiran atlet Terengganu itu juga diharap akan memberi suntikan kepada atlet Terengganu yang bertanding dalam Sukan Asia.

Beliau berkata atlet Terengganu yang mewakili negara dalam sukan itu terdiri daripada sukan lumba basikal, olahraga, silat dan angkat berat.

Mengenai Sukma 2012 di Kuantan, Rosdi berkata sebagai juara bertahan, Terengganu akan membuat persediaan awal dengan mengenal pasti atlet baru yang akan diketengahkan.

Katanya, MSNT akan menganjurkan satu bengkel selama tiga hari pada bulan depan untuk merangka program dan jadual latihan kejohanan dan lain-lain pada bengkel tersebut.

"Selepas seminar tersebut, persatuan-persatuan akan menghantar senarai nama atlet, senarai nama jurulatih dan juga senarai-senarai kejohanan yang akan disertai sehingga kejohanan itu bermula," katanya.

-- BERNAMA

2,335 Bakal Haji Terengganu Berlepas Ke Mekah Mulai 16 Oktober Ini

KUALA TERENGGANU, 25 Sept (Bernama) -- Seramai 2,335 bakal haji dari Terengganu akan mula berlepas ke Tanah Suci Mekah mulai 16 Oktober ini secara berperingkat melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini.

Pengarah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) negeri Terengganu Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, kesemua mereka akan menaiki penerbangan terus ke Mekah dengan tujuh penerbangan.

"Sehingga ini itulah angka jemaah dari Terengganu yang kita tetapkan untuk musim Haji ini," katanya pada majlis kursus Haji Perdana di sini yang dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Menurutnya, selain bakal haji dari Terengganu, jemaah dari Kelantan dan sebahagian dari Pahang juga turut berlepas dari LTSM.

Katanya, sehingga ini segala urusan mengenai jemaah haji untuk ke Tanah Suci berjalan dengan lancar dan sempurna.

Sementara itu, Tengku Putera berkata, kerajaan negeri Terengganu turut menghantar 175 kakitangannya menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Katanya, mereka terdiri daripada Imam dan Bilal, para Hafiz Al-Quran, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta kakitangan jabatan kerajaan yang lain.

"Jumlah yang dihantar menunaikan haji tahun ini lebih ramai iaitu 175 orang berbanding 85 orang sahaja tahun lepas," katanya.

Beliau turut menasihatkan bakal haji supaya menjaga kesihatan serta mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Tabung Haji bagi melicinkan segala urusan menunaikan ibadat itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Domestik Tabung Haji Ahmad Ruzman Ahmad Razali ketika ditemui berkata, Tabung Haji telah membelanjakan lebih RM3 juta bagi mengadakan kursus Haji Perdana di seluruh negara tahun ini.

Katanya, kursus seumpama itu penting kepada bakal haji agar mereka dapat mengerjakan ibadat itu dengan lancar dan sempurna ketika di Mekah nanti.

"Kita buat kursus ini betul-betul seperti mengerjakan haji di Mekah. Kita harap jemaah dapat mengikutinya dengan sebaik mungkin," katanya.

-- BERNAMA

Kastam Terengganu Pungut RM380 Juta Cukai Bagi Lapan Bulan Pertama

KUALA TERENGGANU, 23 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu berjaya memungut cukai sebanyak RM380 juta bagi lapan bulan pertama tahun ini atau 71.92 peratus daripada jumlah sasaran RM529 juta sehingga akhir tahun ini.

Pengarah Kastam negeri Datuk Azis Yacub berkata jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding pungutan cukai RM366 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

"Pungutan komoditi utama kita di Terengganu ialah melalui duti eksport petroleum iaitu sebanyak RM357 juta atau 33.38 peratus daripada keseluruhan pungutan cukai," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka hari raya Kastam Terengganu di sini Khamis.

Azis berkata hasil lain yang diperoleh adalah daripada levi keuntungan luar biasa yang menunjukkan peningkatan sebanyak 143.71 peratus iaitu kelapa sawit di mana pihaknya berjaya memungut sebanyak RM1.16 juta berbanding RM417,000 pada tahun lepas bagi tempoh lapan bulan pertama.

Kastam Terengganu juga memperoleh hasil daripada cukai jualan import, duti eksais yang melibatkan pembayaran ke atas barangan antaranya kenderaan, minuman keras dan rokok.

Beliau berkata cukai ke atas kenderaan juga meningkat daripada RM8,000 tahun lepas kepada RM21,000 tahun ini manakala duti import tahun lepas yang dikutip sebanyak RM4.7 sudah meningkat kepada RM5.1 juta bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Azis berkata Kastam Terengganu mengambil pendekatan dengan mengenal pasti kelemahan yang ada bagi meningkatkan lagi perkhidmatan jabatan.

Beliau berkata Kastam Terengganu menubuhkan pusat khidmat atau 'klinik' pada setiap hari Ahad minggu pertama setiap bulan mulai pukul 8 pagi hingga 10 malam bagi memudahkan rakyat negeri itu berjumpa dengan pegawai untuk menyelesaikan sebarang masalah berkaitan jabatan itu.



-- BERNAMA

YPU Akan Buka Sebuah Lagi Hotel Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 Sept (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan membuka sebuah hotel bertempat di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) di Kampung Banggol Tuan Muda di sini pada tahun hadapan.

Pengurus Besar YPU Azmi Razik berkata, hotel empat tingkat itu akan dikendalikan oleh usahawan Terengganu dan akan dikenali sebagai T-Hotel KUT bertempat di satu bahagian di kompleks berkenaan.

"Kita sudah ada bangunan KUT di situ yang dibina dengan kos RM25 juta. Cuma sekarang kita nak ubahsuai untuk dijadikan hotel melibatkan perbelanjaan RM8.3 juta dan dijangka akan beroperasi tahun hadapan," katanya ketika ditemui pada rumah terbuka sempena Hari Raya YPU di sini Khamis.

Azmi berkata, selain menempatkan hotel, kompleks itu juga buat julung kalinya akan mewujudkan Kota Batik Terengganu dengan menyediakan inkubator, kilang memproses batik, galeri batik dan ruang niaga batik.

"Kita mahu jadikannya seperti Kota Batik yang ada di Solo, Indonesia, sebagai tempat promosi batik dan sebagai destinasi pelancongan baru di kawasan berkenaan," katanya.

Katanya, selain Kota Batik, kompleks itu juga akan menempatkan T-Shop, T-Kafe, lot-lot pejabat usahawan dan sebagainya di mana kawasan itu akan menjadi satu mini pekan baru.

Azmi berkata, YPU juga merancang untuk membina sebuah lagi hotel berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang akan dinamakan T-Hotel Airport yang dijangka akan siap pada 2011 dan beroperasi pada 2012.

Sementara itu, Azmi berkata Pesta Aidilfitri dan juga Bazar Ramadan bertempat di Pusat Dagangan Terengganu baru-baru ini, usahawan Terengganu berjaya membuat jualan sehingga RM3 juta sepanjang tempoh sebulan pesta itu berlangsung.

"Kita bercadang untuk jadikan ruang yang ada di sekitar Pusat Dagangan Terengganu sebagai tempat berniaga untuk memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Terengganu menjalankan perniagaan mereka," katanya.


-- BERNAMA

26 September 2010

Ibu tunggal disaran tidak mudah putus asa.

Ibu tunggal sama ada kematian suami atau bercerai dingatkan supaya tidak mudah berputus asa menempuh hari mendatang sebaliknya perlu kuat semangat dan tabah menghadapi dugaan.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata pihaknya menyediakan pelbagai program bagi membantu golongan itu kembali hidup cerdas seperti sedia kala sekaligus dapat membesarkan anak dengan sempurna.

Antaranya menganjurkan kursus kemahiran internet dan pembangunan e-Perniagaan yang diselia khas oleh beberapa pegawai di bawah Program Bengkel Latihan Jendela Industri Kecil dan Sederhana.

Katanya program ini diadakan untuk membantu Ibu tunggal mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan masing-masing melalui penggunaan teknologi maklumat selain memberi pendedahan berkaitan laman sesawang.

“Secara tidak langsung mereka dapat mempromosikan barangan dan perkhidmatan yang disediakan ke serata dunia,” katanya.

Sementara itu Encik Shafaruddin turut memberitau program pasca perkahwinan turut diwujudkan YPKT semata-mata ingin memulih kembali hubungan intim pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin dan mengatasi masalah penceraian.

Katanya daripada jumlah 10,500 pasangan yang berkahwin pada tahun lalu , sebanyak 10 peratus pasangan telah melalui proses penceraian.

"Bila kita anjurkan program ini, pasti ramai menyangka mereka yang mengikuti program ini adalah pasangan bermasalah tetapi mereka tersilap kerana peserta yang dipilih ini bertuah kerana berpeluang menghabiskan masa bersama dengan pasangan masing-masing tanpa dikenakan sebarang bayaran.

"Kita berharap melalui penganjuran program ini dapat meningkatkan keutuhan sesebuah institusi kekeluargaan di saat pasangan suami isteri telah sampai tempoh terasa hambar dan tidak lagi menarik seperti seawal perkahwinan dulu,” katanya.


TEGANUKITA

Amalan Ziarah Kubur Raya Enam

Tradisi melawat tanah perkuburan saudara-mara terdekat pada `hari raya enam’ atau 8 Syawal setiap tahun terus kekal di kalangan umat Islam di negeri ini.

Bermula jam 8 pagi kebanyakan umat Islam mula keluar rumah untuk mengunjungi kubur saudara mara dengan membawa keluarga masing-masing bagi menyuburkan ingatan kepada mereka yang sudah meninggal dunia dan mengingatkan anak-anak lokasi kubur keluarga mereka.

Kesempatan kebanyakan umat Islam yang masih bercuti panjang pada minggu pertama Hari Raya Aidilfitri yang kebetulan turut disytiharkan cuti umum sempena Hari Penubuhan Malaysia pada Khamis lalu serta Jumaat sebagai hari raya enam memberi peluang lebih ramai umat Islam meluangkan masa ke tanah perkuburan.

Selain membaca doa dan tahlil , mereka turut mengambil kesempatan membersihkan tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan setiap kali tiba bulan yang mulia dan penuh keberkatan itu.

Di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu umpamanya lebih 100 penduduk kampung mula mengunjungi tanah perkuburan sebelum jam 8 pagi dengan masing-masing turut membawa pelbagai jenis makanan serta kuih-muih sebagai hidangan untuk dinikmati sesama mereka.

Malah, kunjungan ke tanah perkuburan itu juga dapat merapatkan silaturrahim apabila dapat bertemu sesama mereka dan bertanya khabar selepas sekian lama tidak berjumpa.

TEGANUKITA

14 September 2010

Kerajaan sentiasa hargai pandangan rakyat

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada masyarakat di negeri ini untuk memberi pandangan dan idea bernas ke arah memajukan negeri ini supaya pembangunan yang dilaksanakan dapat dinikmati sepenuhnya oleh setiap lapisan rakyat.

“Sebarang cadangan dan pandangan boleh disalurkan terus kepada saya melalui sistem pesanan ringkas (SMS),” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di majlis Sambutan Aidilfitri bersama Perantau di Primula Beach Resort, pada hari raya ke dua. Katanya, setiap pandangan positif yang diterima akan dijadikan panduan dalam menjana kemajuan di negeri ini demi kepentingan rakyat seluruhnya.

“Kita mengamalkan sikap terbuka dan penglibatan anggota masyarakat untuk membangunkan negeri ini lebih berkesan kerana setiap apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk kepentingan rakyat,” katanya yang turut disertai isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Hadir sama pada majlis tersebut, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri beserta isteri masing-masing dan kira-kira 2,500 anak Terengganu yang pulang berhari raya ke negeri ini.

Dato’ Seri Ahmad turut memaklumkan, bahawa kerajaan negeri akan terus membina rumah kediaman mampu milik bagi memastikan semua rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri yang selesa.

“Sepanjang tempoh lima tahun ini, sebanyak 12,000 unit rumah akan dibina dan kini 6,000 unit sedang dalam pembinaan manakala selebihnya akan siap menjelang 2013 yang membabitkan kos lebih RM1 billion,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan telah membelanjakan RM140 juta untuk pembiayaan pendidikan anak-anak negeri yang mengikuti pengajian di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara sepanjang tahun ini.

TEGANUKITA

13 September 2010

AWAS! OPS SIKAP KE 22

Sebagai langkah memastikan perantau yang pulang berhari raya dan semua pengguna jalan raya di musim perayaan selamat, Kempen Keselamtan Jalanraya dan Ops Sikap Ke 22 Peringkat Negeri Terengganu dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said seminggu sebelum Hari Raya baru-baru ini.

Pelancaran dilakukan di Perhentian Medan Selera, Beris Meraga, Kijal Kemaman iaitu jalan utama Kemaman-Kuala Terengganu di sebelah pantai. Hadir sama Ketua Polis Terengganu SAC Dato' Mohd Shukri Dahlan.

Dato' Seri Ahmad mengingatkan supaya pengguna jalanraya sentiasa cakna dalam soal keselamatan dengan tidak melakukan perkara yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain (pengguna jalanraya lain).

"Jangan biarkan kepulangan kita ditangisi akibat kemalangan, tetapi pastikan kepulangan kita untuk berhari raya dengan penuh gembira bersama ahli keluarga," katanya.

Menurutnya, kebanyakan kemalangan berlaku adalah akibat kecuaian pengguna jalanraya sendiri, oleh sebab itu ia perlulah diberi kesedaran dan dididik dari peringkat awal tentang perlunya memandu dan menggunakan jalanraya secara berhemah.

Anggota polis akan memantau dan mengawasi para pengguna di lokasi-lokasi terpilih sempena Ops Sikap tersebut untuk memastikan pengguna jalan raya memandu mengikut peraturan dan tidak memandu secara merbahaya.

Menteri Besar turut membahagikan hamper berbuka kepada para pengguna jalanraya yang bernasib baik melalui jalan berkenaan sempena kempen tersebut.


TEGANUKITA

RAYA MEMUPUK PERPADUAN DAN 1 MALAYSIA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said menyeru supaya masyarakat Terengganu menjadikan sambutan hari raya sebagai landasan bagi memperkukuhkan ikatan perpaduan di kalangan umat Islam dan kaum-kaum lain selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Katanya, budaya kunjung-mengunjung dan bermaaf-maafan perlu terus disuburkan dan diwarisi oleh generasi baru supaya tidak sampai dilupakan adat yang bersendikan agama itu.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Aidilfitri.

Dato’ Seri Ahmad yang amat cakna rakyat mengingatkan supaya para peniaga tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan lebih sempena musim perayaan ini sebaliknya perlu bersikap bertimbang rasa kepada para pengguna.

“Kalau kita tidak mahu diri kita susah, demikian juga orang lain, oleh itu sama-samalah kita saling berhubungan baik di antara peniaga dan pelanggan,” tegasnya kepada para peniaga.

Beliau menasihatkan supaya beberapa tragedi yang sering terjadi di musim perayaan supaya dielakkan atau dicegah seperti kemalangan jalan raya, pecah rumah dan kemalangan akibat bermain mercun.

Sambil mengucap selamat pulang kepada perantau, beliau menasihatkan supaya berhati-hati di jalan raya supaya agar tidak berlaku tragedi pilu yang tidak diingini di saat-saat hari yang mulia ini.

“Saya dan isteri mengambil kesempatan ini untuk mengucap selamat hari raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Terengganu dengan ucapan yang mulia, maaf zahir
dan batin,” ujarnya

Katanya, Terengganu akan terus melangkah kehadapan dengan penuh yakin dengan segalanya adalah dilakukan untuk rakyat, berteraskan konsep ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Beliau menjemput mana-mana yang berkesempatan untuk berkunjung ke kediaman Menteri Besar, Seri Iman pada hari raya pertama mulai jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

Di samping itu, sambutan khas raya bersama perantau akan diadakan oleh beliau pada hari raya kedua bertempat di Hotel Primula.

TEGANUKITA