Pengurus Besar YPU Azmi Razik berkata, hotel empat tingkat itu akan dikendalikan oleh usahawan Terengganu dan akan dikenali sebagai T-Hotel KUT bertempat di satu bahagian di kompleks berkenaan.
"Kita sudah ada bangunan KUT di situ yang dibina dengan kos RM25 juta. Cuma sekarang kita nak ubahsuai untuk dijadikan hotel melibatkan perbelanjaan RM8.3 juta dan dijangka akan beroperasi tahun hadapan," katanya ketika ditemui pada rumah terbuka sempena Hari Raya YPU di sini Khamis.
Azmi berkata, selain menempatkan hotel, kompleks itu juga buat julung kalinya akan mewujudkan Kota Batik Terengganu dengan menyediakan inkubator, kilang memproses batik, galeri batik dan ruang niaga batik.
"Kita mahu jadikannya seperti Kota Batik yang ada di Solo, Indonesia, sebagai tempat promosi batik dan sebagai destinasi pelancongan baru di kawasan berkenaan," katanya.
Katanya, selain Kota Batik, kompleks itu juga akan menempatkan T-Shop, T-Kafe, lot-lot pejabat usahawan dan sebagainya di mana kawasan itu akan menjadi satu mini pekan baru.
Azmi berkata, YPU juga merancang untuk membina sebuah lagi hotel berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang akan dinamakan T-Hotel Airport yang dijangka akan siap pada 2011 dan beroperasi pada 2012.
Sementara itu, Azmi berkata Pesta Aidilfitri dan juga Bazar Ramadan bertempat di Pusat Dagangan Terengganu baru-baru ini, usahawan Terengganu berjaya membuat jualan sehingga RM3 juta sepanjang tempoh sebulan pesta itu berlangsung.
"Kita bercadang untuk jadikan ruang yang ada di sekitar Pusat Dagangan Terengganu sebagai tempat berniaga untuk memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Terengganu menjalankan perniagaan mereka," katanya.
-- BERNAMA