Tradisi rumah terbuka diteruskan beberapa agensi kerajaan di seluruh negeri sebagai menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini. Terbaru, Pejabat Daerah Kuala Terengganu buat julung kalinya mengadakan majlis rumah terbuka di perkarangan jabatan itu, di Jalan Sultan Mohamad, hari ini (23 September).
Majlis itu memberi peluang lebih 1,000 tetamu memenuhi tapak khemah yang disediakan untuk menikmati pelbagai juadah menyelerakan seperti sate, nasi minyak dan lemang.
Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail berharap majlis itu dapat merapatkan lagi silaturrahim di kalangan pegawai dan kakitangannya dengan orang ramai dan kakitangan pelbagai agensi di seluruh negeri ini terutama yang sentiasa berurusan dengan jabatan itu sempena Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu turut menerima lebih 1,000 tetamu di majlis rumah terbuka anjuran agensi itu, di Galeri A Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu.
Majlis yang diserikan dengan kumpulan Dendang Anak dan hiburan pentas oleh artis tempatan mula dikunjungi tetamu sejak jam 10 pagi .
Kehadiran tetamu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera disambut ceria Pengurus Besar YPU Terengganu, Haji Azmi Razik bersama beberapa kakitangannya.