Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar melahirkan rasa kesal kerana masih ada dalam masyarakat hari ini tidak menghormati undang-undang dan merugikan diri dan ahli masyarakat lain.
“Ikutlah undang-undang kerana peraturan yang ada adalah untuk kebaikan semua,” katanya kepada pemberita selepas melawat dua anggota polis yang terlibat dalam kemalangan ketika menjalankan tugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini (26 September).
Turut hadir, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan dan beberapa pegawai kanan polis kontijen Negeri Terengganu.
Katanya, cabaran polis begitu besar dan setiap anggota perlu tingkatkan kesabaran agar dapat memberi khdimat terbaik kepada masyarakat.
Ini merujuk kepada kemalangan yang berlaku kepada Konstabel Arizan Mohamad, 24 yang dirempuh remaja bermotosikal yang cuba melarikan diri dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Masjid Abidin pada 15 September lalu.
Arizan yang berasal dari Sarawak, patah tulang selangka kiri dan juga tulang kaki kiri dan menerima 10 jahitan di kepala akibat kejadian itu manakala seorang lagi Konstabel Mohd Hishammudin Shafie,23 mendapat kecederaan di kaki apabila terjatuh ketika bergotong royong di Balai Polis Cabang Tiga pada 17 September lalu.
Kedua-dua mereka yang ditempatkan di wad yang sama terkejut dan teruja dengan kunjungan Tan Sri Ismail yang tidak disangkakan itu.
Tan Sri Ismail dalam rangka lawatan ke negeri ini bertemu dengan Datuk Mohd Shukri Dahlan dan semua pegawainya bagi memberi penerangan dan perbincangan serta mencari kaedah terbaik dalam menangani gejala sosial masyarakat hari ini.
TEGANUKITA