Halaman

01 March 2011

Pameran Picture+Word=Book

1 Mac – 30 April 2011



Pameran Picture+Word=Book
Picture+Word= Book Exhibition

Venue: Galeri Seni, Muzium Negeri Terengganu.



Pameran illustrasi dengan pelbagai aktiviti sampingan bagi tujuan pendidikan dengan kerjasama PETRONAS.

The Exhibition of Illustration with various additional activities for education, in collaboration with PETRONAS.



MB lawat mangsa kebakaran

Oleh: Kamarudin Mat Akib


HANGUS ... pelbagai kelengkapan rumah dan barang-barang peribadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, melawat mangsa kebakaran di Kampung Seberang Marang, petang ini dan menghulurkan bantuan peribadi kepada mangsa bencana tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 petang itu, dua rumah papan yang berdekatan antara satu sama lain, hangus sama sekali beserta dengan pelbagai kelengkapan rumah dan barang-barang peribadi.

Mangsa dan keluarga kini tinggal sementara di rumah keluarga dan diberi bantuan pakaian dan makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dato’ Seri Ahmad berkata, disebabkan keluarga yang terlibat dengan kebakaran itu adalah penyewa, kerajaan negeri hanya memberi bantuan segera berupa sedikit wang tunai, makanan dan pakaian.


Menteri Besar Terengganu melawat mangsa kebakaran di Kampung Seberang Marang. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

“Manakala penyewa pula tidak berhak mendapat rumah baru seperti peruntukan sedia ada kerana mereka menyewakan rumah masing-masing kepada orang lain,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah yang terbakar itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara itu dan memberi bantuan yang sewajarya kepada pemilik rumah berkenaan.


TERHARU...MB ketika mendengar masalah yang disampaikan oleh keluarga Mat Rani.

Sementara itu, Menteri Besar turut melawat Mat Rani Yusof, 57, yang menghidap penyakit strok sejak dua minggu lalu dan menyampaikan bantuan peribadi.

Bekas guru tersebut kini terlantar di rumahnya yang berdekatan dengan kediaman yang terbakar itu.



GAMBAR SUDAH MAMPU CERITAKAN SEMUANYA





Apa perasaan kita apabila kanak-kanak ini dipergunakan untuk tujuan politik...gambar ini menceritakan segala-galanya. Ia dirakamkan semasa proses penamaan calon di Kerdau, Temerloh baru-baru ini.



TSUK Ketuai Misi Kekalkan Juara Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman


Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Dato' Wan Ahamad Wan Muda.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) negeri, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dilantik sebagai `Chef De Mission’ atau Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Terengganu sekaligus menggalas misi Terengganu selaku `Kuasa Baru Sukan Negara’ untuk kekal sebagai juara Sukma kali ketiga berturut-turut.

Beliau menerima pentauliahan bagi mengetuai kontinjen `Terengganu Hanelang’ itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat sempena majlis pelancaran Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 , di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini (1 Mac).



Dato’ Wan Ahamad berbesar hati dengan pelantikan itu dan akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin serta akan bekerjasama dengan semua pihak khususnya Majlis Sukan Negeri (MSN) serta pihak pengurusan sukan yang lain bagi menjayakan matlamat dan hasrat semua.

“Walaupun bagi mencapai kecemerlangan dan mengekalkan kejayaan sebagai `kuasa baru sukan negara’ dengan menjuarainya untuk kali ketiga-tiga berturut-turut bukan perkara yang mudah untuk dicapai, saya akan berusaha dan memberi komitmen yang sewajarnya demi kepentingan sukan negeri dan negara amnya. Sama-sama kita berdoa dan melakukan yang terbaik untuk tujuan murni ini,” katanya.



Dato’ Wan Ahamad merupakan individu yang tidak asing dalam pembangunan sukan Terengganu kerana MSN adalah satu jabatan yang terletak di bawah kawalan beliau secara langsung.

Malah, beliau adalah antara pengasas kepada penubuhan Pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dan dilantik selaku Timbalan pengerusi Pengurusan TSG.

Beliau sendiri yang mengambil inisiatif tinggi untuk memastikan hasrat Menteri Besar untuk menubuhkan satu pasukan berbasikal bertaraf dunia serta mengumpul pelumba negeri ini bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dapat direalisasikan dengan tertubuhnya pasukan TSG, sekaligus menjadikan Terengganu satu-satunya negeri yang memiliki pasukan basikal profesional.

Beliau dilahirkan di Kuala Terengganu pada 20 Ogos 1956 berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi kepujian (Analisa) Universiti Malaya dan Diploma Lepasan Ijazah Undang-Undang dari Universiti Metropolitan Manchester, United Kingdom.



Dato’ Wan Ahamad sebelum berkhidmat sebagai TSUK (Pengurusan) pernah berkhidmat sebagai Guru Besar Pusat Pendidikan Yayasan Islam Bukit Payong, Marang (1987) dan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu pada 1 Februari 1988 sebagai Penolong Pegawai Daerah, Pejabat daerah Marang, selain menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar (16 April 2008).



3 ribu peserta sertai seminar

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 3,000 ahli-ahli Jawatakuasa Kemajuaan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk pengerusi seluruh Kuala Terengganu hadir menyertai Seminar Pemantapan Kepimpinan anjuran Yayasan Pembangunan Ihsan Malaysia (YPIM) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Tiga modul bertajuk Realiti Umat Melayu Islam Masa Kini; Survival Menuju Kemerdekaan serta Bangun Runtuhnya Tamadun dan Empayar Besar dibentang fasilitator (YPI) berpengalaman dalam seminar sehari itu.

Kaedah penyampaian modul cukup berlainan kerana sentiasa menggunakan latar belakang muzik Islam, peserta turut diminta bersama-sama menyampaikan lagu nasyid dan menggunakan pelbagai persembahan gambar.

Pendekatan itu nyata menarik minat peserta untuk mendengar amanat setiap fasilitator walaupun program berlarutan sehingga ke petang.

Ketua Pegawai Eksekutif YPIM, Encik Abd Aziz Abdullah, berkata seminar ini diadakan secara berperingkat mengikut negeri membabitkan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan persatuan.

Katanya, pihaknya menjangkakan lebih 50,000 individu terutama kaum Melayu Islam mendapat manfaat daripada seminar yang dianjurkan ini.

“Pelbagai pengisian yang disampaikan dalam program ini termasuk memperkukuhkan barisan pimpinan peringkat kampung, kaedah memperkukuhkan Ummah dan melahirkan generasi cemerlang,” katanya.




Buruan Juara Sukma Ke-14 Kali Ketiga Berturut-turut

Oleh: Aida Abd Rahman


Kontinjen Sukma Terengganu bersama Ketua Kontinjen, Dato' Wan Ahamad dan YB Rozi melaungkan semangat untuk memburu juara buat kali ketiga berturut-turut. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Terengganu nekad untuk meneruskan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14, Kuala Lumpur pada 2 hingga 12 Jun ini.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 48 pingat keseluruhan dengan 24 emas, 15 perak dan sembilan gangsa.

Bagi mencapai hasrat itu, semua pengurus sukan digesa melakukan perubahan kepada kaedah dan mekanisme penyediaan atlet yang lebih baik, mampan dan lebih meyakinkan untuk mengulangi kejayaan itu.

“Jangan sesekali kita merasa selesa dengan kejayaan lalu tanpa melakukan apa-apa tindakan ke arah memastikan kejayaan tersebut berulang dengan lebih cemerlang.

“Hari ini saya bersama-sama tuan akan emnjadi agen kepada perubahan itu. Marilah kita bersama-sama bertekad utnuk memastikan terengganu sentiasa dinobatkan sebagai `Kuasa Baru Dalam Sukan Negara’,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, ketika majlis pelancaran logo & kontinjen Sukma ke-14 Terengganu, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini (1Mac).



Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan negeri, Haji Zainal Abidin Hussin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ wan Ahamad Wan Muda.

Dato’ Wan Ahamad turut menerima pelantikan sebagai Ketua Kontinjen Terengganu daripada Haji Rozi serta menerima plak sasaran pungutan pingat pada Sukma ke-14 nanti.

Sementara itu, menurut Haji Rozi, acara yang dipertaruhkan untuk menyumbang emas paling banyak adalah kanu, 10 emas ( empat perak dan dua gangsa) manakala berbasikal empat emas, diikuti judo tiga emas (lapan perak dan dua gangsa).

Acara lain, lawan pedang (dua emas), bola tampar pantai, futsal dan ragbi masing-masing mensasarkan satu emas.

Haji Rozi berkata, sebanyak 20 jenis sukan dipersetujui untuk dipertandingkan sepanjang temasya itu nanti daripada kategori Sukan Pilihan.

Sementara itu, logo baru Terengganu yang dinamakan `Terengganu Hanelang’ yang menggunakan penyu belimbing sebagai ikon baru sukan negeri ini turut dilancarkan.




Kerajaan perkenal program PPK 25

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri melancarkan Program Pengisian Kerohanian Untuk Golongan 25 Tahun Ke Atas (PPK 25) bagi membudayakan ilmu sebagai sebahagian daripada cara hidup masyarakat Islam di negeri ini.



Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata program tersebut mendapat kerjasama penuh daripada penyarah-pensyarah universiti tempatan yang memberikan buah fikiran mereka bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan itu.

PPK 25 merupakan satu projek besar kerajaan yang mensasarkan golongan berusia 25 tahun ke atas, bagi memantapkan lagi keupayaan dan keberkesanan pengajaran dan penyebaran agama Islam di seluruh negeri.

Melalui program itu, kerajaan negeri akan berusaha memulih dan membangunkan imej institusi masjid sebagai pusat kecemerlangan, menjadikan al-Quran sebagai amalan dan budaya masyarakat Terengganu dan mewujudkan masyarakat Terengganu yang memiliki kesedaran dan kepedulian yang tinggir terhadap masalah sosial dan jenayah.

“Kebanyakan program berbentuk keagamaan yang dirancang oleh kerajaan kurang mendapat sambutan, khususnya di kalangan generasi muda. Oleh itu, kita harap program yang dilakukan melalui PPK 25 mampu menarik golongan tersebut untuk turut serta dalam program berbentuk keagamaan yang dirancang di masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Bicara Eksekutif : Multaqa YAB Menteri Besar bersama Imam dan Bilal di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, petang semalam.

Dato’ Mazlan berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada siri ceramah kepimpinan yang dianjurkan kerajaan negeri bagi membentuk kekuatan dalaman dan jati diri para imam dan bilal di negeri ini.

Program sehari itu dimulakan dengan majlis ilmu pada sebelah pagi bertajuk ‘Survival menuju kemerdekaan’ yang disampaikan oleh Pengurus Besar Operasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Kapt (B) Dr Shamsuddin Haji Moner @ Munir.

Dato’ Haji Mazlan berkata, selepas ini program tersebut yang bertujuan mengimarahkan masjid-masjid di seluruh negeri akan diperluaskan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pula.

Pada majlis itu juga, Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, turut menyampaikan imbuhan kepada imam dan bilal.



Kerajaan belum putuskan mengenai pameran alam mistik

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan melihat secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pameran alam mistik yang bakal dianjurkan syarikat Dynasty Event Sdn Bhd selama tiga bulan bermula April depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihak akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sebelum meluluskan pameran itu.

“Kerajaan negeri akan menarik permit pameran sekiranya tidak mendapat kebenaran Majlis Fatwa walaupun Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah mengeluarkan lesen,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan syarikat berkenaan mengadakan pameran alam mistik di Dataran Shahbandar.

Dato’ Seri Ahmad menegaskan sehingga ini, kerajaan negeri tidak boleh memberi keputusan muktamad sama ada syarikat tersebut boleh meneruskan pameranitu atau sebaliknya.

Mengikut laporan akhbar Kosmo semalam, Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan sejak 2007 bahawa pameran seperti itu adalah haram diadakan kerana tidak mahu masyarakat Islam disogok dengan perkara tahyul dan kurafat.




Imam perlu latihan sebelum baca khutbah

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Imam-imam di negeri ini diminta supaya membaca isi kandungan khutbah terlebih dahulu sebelum menyampaikan kepada jemaah pada hari Jumaat, agar ia dapat disampaikan dengan lebih lancar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, jika bacaan khutbah disampaikan dalam keadaan kurang lancar, para jemaah tidak dapat menghayati kandungannya dan kadangkala sebahagian besar jemaah tidak khusyuk dan mengantuk ketika khutbah dibacakan.

Beliau berkata, jika keadaan itu berlaku hasrat pihak berkuasa untuk menyampaikan pelbagai maklumat dan penerangan kepada rakyat melalui khutbah tidak akan tercapai kerana ia kurang mendapat perhatian jemaah.

“Biasanya khutbah Jumaat diedar ke masjid-masjid lebih awal, jadi eloklah imam-imam baca dulu kandungan khutbah ini sebelum disampaikan kepada jemaah masjid,” katanya ketika berucap pada majlis Bicara Eksekutif : Multaqa YAB Menteri Besar bersama Imam dan Bilal di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam hari ini.

Menurutnya, ada sesetengah imam tidak meneliti langsung khutbah yang diberikan kepada mereka, hinggalah pada hari Jumaat dan mereka membacanya dalam keadaan tidak lancar.

Lebih menyedihkan ada imam yang salah menyebut perkataan tertentu, khususnya yang diambil daripada perkataan bahasa Inggeris atau terma-terma tertentu seperti H1N1.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar turut meminta imam dan bilal mengadakan program pengimarahan masjid yang turut memberi tumpuan kepada usaha menarik golongan muda ke tempat ibadat itu.

Beliau berkata, langkah itu penting kerana kehadiran golongan muda ke masjid secara tidak langsung boleh menghindarkan mereka daripada terjerumus dalam kegiatan yang boleh merosakkan masa depan mereka serta merugikan negara.

“Dalam hal ini, imam dan bilal serta jawatankuasa masjid boleh menggunakan sebahagian daripada tabung masjid untuk menjalankan program-program pengimarahan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri sendiri sedia membantu menjayakan pelbagai program pengimarahan masjid bagi memastikan kedatangan jemaah terus bertambah,” ujar beliau.



28 February 2011

HANTAR SEMULA PELAJAR KE MESIR: MESYUARAT EXCO AKAN BUAT KEPUTUSAN

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan membuat sebarang keputusan berhubung cadangan untuk menghantar semula semua pelajar tajaannya ke Mesir.

“Mesyuarat Exco adalah kuasa tertinggi yang akan membuat dasar dan membuat keputusan berkaitan perkara ini,” katanya ketika ditanya media selepas majlis penyerahan e-Book bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang, di Seri Iman sebentar tadi.

Dilaporkan sebahagian besar universiti di negara berkenaan bakal memulakan pengajian mereka mulai 12 Mac depan.
Hadirin di majlis penyerahan e-Book DUN Ladang.


Terdapat 247 pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang menuntut di beberapa university di Mesir. Mereka pulang ke tanah air baru-baru ini akibat pergolakan politik di negara berkenaan.

“Saya katakan, mesyuarat Exco Kerajaan Negeri akan membuat keputusan..,” katanya berulang kali kepada media setelah diajukan dengan soalan demikian. Oleh: Ruslan Abdul Rahman