Halaman

01 March 2011

Kerajaan perkenal program PPK 25

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri melancarkan Program Pengisian Kerohanian Untuk Golongan 25 Tahun Ke Atas (PPK 25) bagi membudayakan ilmu sebagai sebahagian daripada cara hidup masyarakat Islam di negeri ini.



Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata program tersebut mendapat kerjasama penuh daripada penyarah-pensyarah universiti tempatan yang memberikan buah fikiran mereka bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan itu.

PPK 25 merupakan satu projek besar kerajaan yang mensasarkan golongan berusia 25 tahun ke atas, bagi memantapkan lagi keupayaan dan keberkesanan pengajaran dan penyebaran agama Islam di seluruh negeri.

Melalui program itu, kerajaan negeri akan berusaha memulih dan membangunkan imej institusi masjid sebagai pusat kecemerlangan, menjadikan al-Quran sebagai amalan dan budaya masyarakat Terengganu dan mewujudkan masyarakat Terengganu yang memiliki kesedaran dan kepedulian yang tinggir terhadap masalah sosial dan jenayah.

“Kebanyakan program berbentuk keagamaan yang dirancang oleh kerajaan kurang mendapat sambutan, khususnya di kalangan generasi muda. Oleh itu, kita harap program yang dilakukan melalui PPK 25 mampu menarik golongan tersebut untuk turut serta dalam program berbentuk keagamaan yang dirancang di masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Bicara Eksekutif : Multaqa YAB Menteri Besar bersama Imam dan Bilal di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, petang semalam.

Dato’ Mazlan berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada siri ceramah kepimpinan yang dianjurkan kerajaan negeri bagi membentuk kekuatan dalaman dan jati diri para imam dan bilal di negeri ini.

Program sehari itu dimulakan dengan majlis ilmu pada sebelah pagi bertajuk ‘Survival menuju kemerdekaan’ yang disampaikan oleh Pengurus Besar Operasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Kapt (B) Dr Shamsuddin Haji Moner @ Munir.

Dato’ Haji Mazlan berkata, selepas ini program tersebut yang bertujuan mengimarahkan masjid-masjid di seluruh negeri akan diperluaskan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pula.

Pada majlis itu juga, Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, turut menyampaikan imbuhan kepada imam dan bilal.