Halaman

02 March 2011

Empangan Hidroelektrik Kedua Siap 2015

Oleh: Esah Abdullah

Pembinaan Empangan Hidroelektrik kedua di Tasik Kenyir yang dimulakan tahun lalu merangkumi dua fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2015.

“Setakat ini pembinaan masih berada dalam fasa pertama iaitu pembinaan empangan, terowong air dan stesen janakuasa elektrik bawah tanah,” kata Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu, Encik Md. Yuslan Md. Yusof.

Katanya, dalam fasa terakhir pembinaan merangkumi kerja-kerja mereka bentuk, memasang serta menguji peralatan mekanikal dapat disiapkan sepenuhnya dan anggaran peruntukan keseluruhan projek ini hampir RM1 bilion.

“Empangan kedua ini dibina di kawasan Sungai Tembat dan Sungai Puah, Hulu Terengganu dan mempunyai kapasiti sebanyak 250 megawatt,” katanya.

Katanya, selain empangan itu, Terengganu mempunyai dua buah stesen janakuasa hidroelektrik iaitu di Paka, Dungun dan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

“Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Ismail di Paka mampu mengeluarkan tenaga dengan kapasiti ,1,200 megawatt dan Empangan Hidroelektrik Sultan Mahmud, Tasik Kenyir mempunyai kuasa 400 megawatt,” katanya.