Halaman

02 March 2011

Bantuan pakaian sekolah diagih pertengahan Mac

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri akan mengagihkan bantuan pakaian sekolah menengah dan rendah kepada pelajar di negeri ini, selepas sekolah-sekolah dibuka semula mulai pertengahan bulan Mac ini.

Proses pengagihan bantuan berkenaan yang sepatutnya dimulakan awal tahun ini ditangguh sementara berikutan pertindihan senarai nama mereka yang layak menerima bantuan tersebut.

Bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata berdasarkan senarai nama terakhir, 109,216 pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan RM1,200 ke bawah, layak menerima sumbangan tersebut.

Beliau berkata, proses pengagihan bantuan berkenaan diteruskan selepas kira-kira 2,654 nama pelajar yang bertindih dalam permohonan bagi tujuan itu selesai disemak semula.

Kerajaan negeri menetapkan setiap keluarga akan mendapat bantuan maksimum hanya untuk dua orang atau RM200 bagi setiap keluarga.

Kerajaan juga menetapkan bantuan pakaian bagi setiap pelajar sekolah menengah dan rendah sebanyak RM100 bagi setiap pelajar.