Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menjangkakan kutipan zakat sebanyak RM80 juta pada tahun ini, berikutan kedudukan ekonomi global yang semakin beransur baik.
Pada tahun lepas, Maidam memperoleh kutipan sebanyak RM76 juta berbanding RM74 juta bagi tahun 2009.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya menjangkakan zakat perniagaan dan zakat pendapatan memberi sumbangan paling besar kepada peningkatan kutipan ini.
"Keadaan ekonomi kita bertambah baik, secara tidak langsung perniagaan mana-mana pemilik sama ada syarikat besar atau usahawan kecil bertambah maju. Faktor ini mendorong mereka mengeluarkan zakat lebih tinggi pada setiap tahun.
“Pada masa sama, pihak kami bersyukur kerana timbul kesedaran terhadap kewajipan membayar zakat di kalangan umat Islam,” katanya kepada Teganukita.
Maidam melantik 12 ejen di seluruh negeri untuk mengutip zakat daripada pelbagai agensi termasuk bank, koperasi dan pihak swasta bertujuan memudahkan orang ramai membayar zakat serta menguruskan kutipan.
“Pihak kami masih melantik amil bertauliah untuk mengutip pelbagai kategori zakat sama ada zakat pendapatan, zakat ternakan, zakat tanaman dan zakat emas dan perak.
“Setiap zakat yang diperoleh akan diagihkan kepada lapan asnaf yang layak iaitu faqir, miskin, amil, riqad (pejuang Islam), al-Gharimin (pelbagai), ibnussabil (pengembara), fisabilillah dan muallaf,” katanya.