Halaman

04 March 2011

Guna Khidmat Jurulatih Luar Negara Lahir Atlet Cemerlang

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan sukan di negeri ini disarankan menggunakan perkhidmatan jurulatih kebangsaan atau luar negara secara jangka pendek supaya dapat memperkemaskan latihan serta memperkenalkan kaedah baru kepada atlet yang bertanding dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur pada 2 hingga 12 Jun ini supaya mereka mampu beraksi dengan lebih cemerlang.

“Apabila menemui jurulatih kebangsaan dan luar negara yang sesuai dan bawa kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk kita akan timbangkan keperluan itu dan bawa masuk mereka dengan segera.
“Kita perlu lakukan dengan segera dan bijak memilih jurulatih berkenaan kerana tempoh yang ada dengan kejohanan sebenar tidak lama lagi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat di satu majlis, baru-baru ini.

Katanya, pendekatan mengambil jurulatih luar negara itu antara langkah bagi memberi pendedahan yang lebih baik dan membaiki prestasi atlet yang gagal menonjol dan mencapai sasaran pingat sebelum ini.

Selain itu, katanya mulai sekarang, jurulatih dan pengurus pasukan juga perlu mengadakan lebih banyak program memperkenalkan dan menemukan atlet masing-masing dengan pasukan kebangsaan atau luar negeri yang bersesuaian.

Beliau berkata, menerusi pendedahan latihan dan pertandingan bertaraf tinggi, atlet akan lebih bersedia, berkeyakinan dan mampu melonjak prestasi apabila bertanding di peringkat kebangsaan kelak.

Menurutnya, setiausaha persatuan juga perlu memberikan kerjasama bagi berunding dengan pasukan kebangsaan untuk merealisasikan hasrat itu.

Haji Rozi juga mengingatkan semua pihak memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Sukma Ke-14 dan meninggalkan dahulu perkara serta masalah yang boleh menghilangkan fokus persiapan itu.

“Agenda pemantauan perlu dijadikan agenda utama bagi semua pihak, baik MSNT, persatuan atau pegawai-pegawai supaya sebarang kekurangan dan kelemahan dapat diatasi secara segera dan bersama dengan berhemah,” katanya.