Halaman

28 February 2011

Kelab Usahawan Setiap Negeri

Oleh; Esah Abdullah


Dato' Wan Mohd Zuki di majlis Pelancaran dan Penyampaian Geran Kelab Usahawan Risda (Risec) di Akademik Bomba dan Penyelamat Malaysia wakaf Tapai, Marang, Terengganu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Satu kelab satu negeri merupakan impian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) hampir mencapai matlamat bila sembilan negeri sudah melancarkan Kelab Usahawan Risda (KUR) setakat ini.

“Satu Majlis Perundingan Usahawan dan KUR Kebangsaan telah diwujudkan pada akhir tahun lalu untuk menyatu dan menyelaras aktiviti usahawan serta memberi mereka ruang untuk saling berinteraksi,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat), Dato’ Wan Mohd. Zaki Mohamad.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti akan dianjurkan seperti program Pembudayaan Usahawan, Tambah Nilai Produk, Pemasaran dan Promosi serta Integrasi Usahawan dalam usaha melahirkan usahawan berjaya dalam pasaran global.

“Risda juga menyediakan peluang untuk pekebun kecil terlibat secara langsung dan aktif dalam aktiviti huluan dan hiliran industri getah contohnya teknologi maklumat dengan aplikasi system e-usahawan yang sedang dibangunkan oleh Risda,” katanya.



Katanya, bantuan modal turut disediakan di bawah program ekonomi tambahan dan pinjaman di bawah Tabung Pembangunan Sosio-Ekonomi Pekebun Kecil (TPSPK).

“Tahun ini Risda memperuntukkan RM4.4 juta di bawah program pembangunan usahawan untuk melaksanakan aktiviti seperti seminar, klinik, kursus, promosi dan pemasaran,” kata Dato’ Wan Mohd Zaki dalam sidang media selepas melancarkan KUR Terengganu, di Akademik Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang hari ini.

Katanya, mengikut kajian purata umur pekebun kecil berusia dalam lingkungan 60 tahun, masih kuat dan produktif namun barisan pelapis generasi muda diperlukan untuk meneruskan perjuangan dalam industri getah.