Halaman

02 March 2011

GALERI PETRONAS anjur pameran di Muzium Negeri

Oleh: Kamarudin Mat Akib



GALERI PETRONAS, galeri seni korporat yang berpusat di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan kerjasama Muzium Negeri Terengganu mengadakan pameran ‘Perkataan + Gambar = Buku ‘ bagi mengangkat kedudukan buku bergambar di Malaysia kepada satu bentuk seni agar ia diterima baik masyarakat tempatan, mulai semalam.

Melalui pameran itu, 30 ilustrasi daripada 10 buku bergambar kanak-kanak nukilan 10 pengilustrasi ternama seperti Mohd Yusof Ismail (Yusof Gajah), Azalan Hussain, Shukri Edrus, Jainal Amambing, Awang Fadilah Ali Hussein, Faizal Abdul Jalil, Khairul Azmir Shoib, Emila Yusof, Norazmi Mokhtar dan Chong Chin Yew.

Pameran ini mengundang masyarakat Malaysia suatu pandangan ke dalam ilustrasi buku bergambar kanak-kanak melalui penerokaan mempesonakan yang membawa para pengunjung ke suatu tempat yang menarik, umpama mimpi dan menawan dengan 10 cerita khusus Malaysia disampaikan melalui pelbagai gaya berbeza.

Sambil menjanjikan habuan visual untuk para pengunjung daripada semua peringkat, pameran ini bertujuan mengangkat kedudukan ilustrasi buku bergambar Malaysia kepada suatu bentuk seni yang serius, berasaskan peranannya dalam perkembangan lanskap seni Malaysia.

Pengurus Besar Kanan untuk Bahagian Perkhidmatan Korporat, Encik Medan Abdullah berkata, pameran ini turut menawarkan kepada pengunjung muda suatu kemungkinan dunia media lain mengandungi cat air, cat minyak, akrilik, cetakan blok kayu, papan lakaran, kolaj, dakwat dan lukisan pensil.

“GALERI PETRONAS bermatlamat menggalakkan masyarakat umum menghargai kepelbagaian bakat kesenian yang sedia wujud di Malaysia melalui pameran ini,” ujar beliau.
Pameran tersebut akan berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April di Muzium Negeri, Bukut Losong.