Halaman

02 March 2011

Masyarakat perlu lahir golongan ‘celik politik’

Oleh: Suriati Ali



Kesedaran terhadap bidang politik tidak akan datang dengan sendiri, tetapi ia perlu diusahakan dengan perancangan dan pelaksanaan strategik, bagi melahirkan masyarakat, khususnya golongan Melayu `celik politik’.

Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, berkata di alaf baru ini memperlihatkan perkembangan politik di Malaysia semakin tidak menentu yang sebelum ini pernah didominasikan kaum Melayu sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, kemelut politik yang melanda sekarang ini telah memberi kelebihan kepada kaum lain di mana bumi Melayu yang dipijak bukan lagi didominasi kaum Melayu sendiri sama ada dalam bidang ekonomi mahu pun politik.

“Daripada segi ekonomi misalnya, kaum Melayu masih lagi bertatih berbanding bangsa lain, selain masih tertumpu di kawasan pedalaman sehingga mengakibatkan terpinggir daripada arus permodenan.

“Melihatkan senario ini, kita sebagai orang Melayu harus berwaspada untuk terus kekal, sesuai dengan status peribumi asal,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pemantapan Kepimpinan Pegawai Kerajaan dan Pemimpin Masyarakat, di Perpustakaan Daerah Marang, hari ini.



Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Haji A. Rahman Che Ali, Ketua Pegawai Eksekutif YPIM, Encik Abd Aziz Abdullah, Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong dan ketua-ketua jabatan.

Kira-kira 2,000 peserta dari daerah Marang menyertai seminar anjuran Yayasan Pembangunan Ihsan Malaysia (YPIM) dan Terengganu Integrity and Strategic Studies Institute (T-ISSI).



Empat tajuk seminar disampaikan fasilitator bertauliah iaitu, Survival Menuju Kemerdekaan; Gagasan Satu Malaysia; Bangun Runtuhnya Tamadun dan Empayar Besar dan Realiti Umat Melayu Islam Masa Kini.

Encik Ahmad Nizam turut memberitahu, sewajarnya tuntutan politik orang Melayu lebih tertumpu kepada soal ekonomi dan kebajikan.

“Oleh itu perkara inilah yang perlu diberi keutamaan setiap pegawai kerajaan dan pemimpin supaya ada kesungguhan mentranformasi orang Melayu secara tidak langsung mengelak daripada terus tercicir,” katanya.