Halaman

27 February 2011

Perunding Dilantik Periksa Struktur Stadium

Oleh: Aida Abd Rahman


Imbas kembali kerja-kerja membersih stadium yang runtuh.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu akan melantik perunding bagi memeriksa kekuatan struktur bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA), Gong Badak, Kuala Terengganu.

Kerja peringkat kedua susulan runtuhan bumbung stadium dijangka mengambil masa tiga bulan, sebelum rekabentuk bagi membaik pulih semula bumbung stadium berkenaan disiapkan.

Pengarah JKR Terengganu, Ir Haji Shahawai Awang, berkata hasil siasatan teknikal mengenai Stadium SMZA diserahkan kepada Pengurusan Kompleks Sukan Negeri sejak awal bulan lalu, untuk tindakan lanjut pihak kerajaan negeri.

“JKR kini dalam proses semakan integriti atau menyemak kekuatan struktur bangunan stadium melalui perunding yang bakal dilantik,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap peringkat dan fasa yang dilaksanakan memerlukan masa serta penelitian rapi bagi mendapatkan hasil kajian lengkap serta tidak timbul sebarang kesilapan teknikal.

Ir Haji Shahawai berkata, selepas kedua-dua peringkat selesai, JKR akan melaksanakan peringkat ketiga iaitu pembinaan baru yang bakal dijalankan sejurus tender dikeluarkan kepada kontraktor terpilih.

“Selepas semua peringkat itu selesai dan lengkap mengikut tempohnya, barulah bumbung stadium itu dapat dibina baru dan dijangka siap dan dapat digunakan semula tahun depan ,” katanya.

Struktur sebahagian bumbung stadium yang digunakan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008 itu runtuh pada 2 Jun 2009, kira-kira jam 9 pagi. Runtuhan melibatkan bahagian depan, kiri dan kanan stadium.

Menurut laporan sebelum itu, kegagalan pihak yang dilantik membina SSMZA mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak menjadi punca bumbung stadium berkenaan runtuh.

Dalam kejadian tersebut, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh. Ia berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina.

TEGANUKITA