Halaman

28 February 2011

Kerajaan Negeri-Pusat Kerjasama Bangunkan ZIA

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu akan terus memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat yang menyenaraikan Pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA) secara bersepadu sebagai Projek Utama dalam Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) di bawah Transformasi Ekonomi Negara sebagaimana dilancarkan Perdana Menteri akhir tahun lalu.

Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju meluluskan dua kawasan ZIA melibatkan 3,227 hektar daripada 4,188 hektar yang dikenalpasti Jabatan Perikanan Negeri Terengganu pada hujung 2009.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu akan membawa baki kawasan ZIA yang dikenalpasti itu bagi mendapatkan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Terengganu.

“Kami percaya pembangunan akuakultur secara langsung akan mempergiatkan ekonomi setempat dari aspek peluang ekonomi pekerjaan dan perniagaan di kampung terlibat.

“Kerajaan Terengganu juga akan meneruskan usaha dan kerjasama dengan jabatan perikanan bagi mengenalpasti kawasan baru yang sesuai untuk dijadikan ZIA ,” katanya dalam satu majlis di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata hala tuju dan pendekatan Projek-projek Utama NKEA akan diterajui pihak swasta dan projek akuakultur dibangunkan berdasarkan piawaian pasaran.

Katanya, pendekatan baru itu akan melibatkan jumlah pelaburan lebih daripada RM1.4 bilion bagi ZIA terpilih di mana sebahagian besar daripadanya adalah daripada pihak swasta yang dijangka dapat menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat.

“Bagi mempromosikan peluang pelaburan dalam kawasan ZIA kepada pihak swasta, Kementerian Pertanian dan Industrian Asas Tani melalui Jabatan Perikanan dan kerjasama yang erat oleh kerajaan negeri akan terus mewujudkan persekitaran mesra perniagaan dan menyediakan kawasan yang diperlukan oleh pihak swasta,” katanya.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri dimaklumkan komitmen kementerian untuk menyediakan infrastruktur asas dalam kawasan ZIA akan diteruskan di bawah RMK 10 dan pelan Projek Keutamaan NKEA.

Katanya, kerajaan negeri juga berterima kasih kerana Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan pembangunan yang mencukupi bagi membiayai kos pembinaan infrastruktur asas seperti ladang, sistem pengairan, bekalan elektrik dan pengumpulan hasil bagi projek bersepadu dalam ZIA di Terengganu.