Halaman

02 March 2011

Kerajaan negeri tanggung kos pelajar balik ke Mesir

Oleh: Kamarudin Mat Akib




BERITA BAIK UNTUK PELAJAR TERENGGANU YANG MENUNTUT DI MESIR. Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos penerbangan balik mereka ke Mesir, termasuk yang belajar di negara itu secara persendirian.

Bonus berganda buat pelajar Terengganu kerana Kerajaan Negeri sedang berurusan dengan MAS untuk menyediakan penerbangan terus dari Terengganu ke Kaherah, bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di universiti masing-masing, secepat mungkin.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said mengumumkan bahawa mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) hari ini memutuskan untuk membiayai kos penerbangan balik semua pelajar dari Terengganu yang pulang ke negeri ini bulan lalu, berikutan pergolakan di negara berkenaan.

“Seramai 621 pelajar yang balik dari Mesir mendaftar dengan kerajaan negeri, termasuk 308 orang yang menuntut di negara berkenaan secara persendirian,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco hari ini.

Beliau menjelaskan kos penerbangan pulang 46 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan 52 pelajar yang ditaja oleh Mara akan ditanggung oleh penaja masing-masing.

Manakala kerajaan negeri akan menanggung tiket penerbangan balik semua pelajar tajaan Yayasan Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan pelajar persendirian.

Menteri Besar berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, akan berunding dengan pihak pengurusan MAS pada 7 Mac ini bagi urusan membawa pulang pelajar terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Kaherah.

“Dalam perbincangan itu juga kita akan menentukan kos sewa pesawat dan tarikh mereka akan diterbangkan ke Mesir,” ujar beliau.



Dato’ Seri Ahmad juga berkata, kerajaan negeri akan mengambilkira keadaan keselamatan di negara berkenaan dan tarikh kebanyakan universiti mula dibuka, sebelum menentukan masa penerbangan.

Pengumuman ini pastinya melegakan keluarga pelajar yang menuntut di Mesir, terutama bagi mereka yang belajar di negara itu atas tanggungan sendiri.