Halaman

04 March 2011

Produk Makanan Terengganu Tembusi Dubai

Oleh: Aida Abd Rahman


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Produk makanan Terengganu berjaya menembusi pasaran Dubai menerusi Ekspo Makanan yang diadakan selama empat hari bermula 27 Februari lalu di negara itu.

Kerajaan Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) memperkenalkan lapan produk makanan daripada negeri ini termasuk kopi berasaskan belut untuk kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata pameran yang disertai buat kali kedua oleh Terengganu itu berjaya memperkenalkan produk makanan negeri ini di negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Katanya, selain kopi berasaskan belut, turut mendapat permintaan pengedar di negara itu termasuk murtabak dan susu krim.

Dato’ Mohamed berkata, Dubai menjadi negara transit produk makanan halal yang disertai kira-kira 80 negara di seluruh dunia.

Katanya, kerajaan negeri menerusi YPU akan membuat tindakan susulan untuk mengetahui tindak balas pengedar makanan berkenaan untuk mengetahui produk yang mereka perlukan untuk pasaran di negara itu.

Beliau berkata, sebelum itu, Terengganu turut mengadakan lawatan ke Oman dan mengadakan pertemuan dengan dewan perniagaan negara itu mengenai perdagangan dua hala.

“Hasil pertemuan itu, Oman mempelawa pelabur-pelabur di Terengganu bagi melibatkan diri dalam industri minyak dan gas.

“Mereka juga berminat untuk ke Terengganu bagi melihat peluang-peluang pelaburan yang ada di sini dan boleh diketengahkan untuk kepentingan perdagangan bersama,” katanya.