Halaman

28 February 2011

e-Book untuk 1 Malaysia

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan Terengganu tidak memilih bangsa sama ada pelajar itu berbangsa Melayu, Cina atau India untuk mengagihkan e-Book secara percuma. Ini selaras dengan konsep 1 Malaysia, yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

Hari ini, tiga pelajar berlainan bangsa iaitu Illy Nurdiyana Sirajuddin, Pavetra A/p Ravi dan Andrea Tan Jing Hong masing-masing dari Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSS 1) teruja dan bagaikan tidak sabar-sabar belajar menggunakan e-Book.

Adik Illy Nurdiyana berkata, dia antara ribuan pelajar di Terengganu berasa cukup bertuah kerana dapat memiliki e-Book secara percuma berbanding pelajar sekolah di negeri lain.




“Saya sangat terhutang budi dengan pemberian berharga ini apatah lagi diserahkan sendiri Dato’ Seri Haji Ahmad,” katanya di temui pemberita Teganukita selepas Majlis Penyerahan e-Book bagi sekolah kawasan DUN Ladang.

Pavetra berkata, dia berterima kasih kepada kerajaaan dan Menteri Besar kerana tidak memilih bangsa dan pangkat untuk memberikan e-Book secara percuma.

“Selepas diberitahu guru kelas tentang majlis hari ini, dia cukup seronok sehingga tidak lena tidur. Apabila dapat mengenggam e-Book, saya cukup berpuashati hati kerana apa yang dihajati sebelum ini sudah terlaksana,” katanya.
“Jika kerajaan tidak memberi peralatan semahal ini, sudah tentu saya tidak dapat memilikinya kerana bapa yang bekerja sendiri tidak mampu membelinya.



Pelajar berbangsa Cina, Andrea Tan Jing Hong, berkata dia sememangnya minat bidang ICT dan pemberian e-Book ini adalah satu bonus dan hadiah yang cukup istimewa baginya.

“Saya lebih bersemangat belajar menggunakan e-Book kerana pengisiannya cukup menarik berbanding kandungan dalam buku teks.

“Selepas ini, saya tidak payah lagi, meminta kebenaran ibu saudara untuk menggunakan komputer riba miliknya kerana sudah memiliki sendiri peralatan seumpama itu,” katanya.