Halaman

28 March 2011

Pelajar cemerlang SPM diberi imbuhan RM500 seorang

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said bersama murid Tahun 5 yang menerima e-Book di majlis Penyerahan e-Book Murid Tahun 5 di Sek Keb Paya Resak. - Foto: Harish Fadzillah.

Seramai 405 pelajar di negeri ini yang mendapat kelulusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumum minggu lalu, akan diberi hadiah wang tunai RM500 seorang, sebagai ganjaran kejayaan mereka meraih keputusan cemerlang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, satu majlis khas akan diadakan dalam tempoh terdekat ini bagi meraikan para pelajar terbabit atas kejayaan mereka.

“Ganjaran ini merupakan insentif kepada para pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dan negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun 5 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, di Sekolah Kebangsaan Paya Resak, hari ini.



Hadir sama di majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, YB Encik Yahya Khatib Mohamad dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.

Dalam peperiksaan SPM tahun lalu, bilangan pelajar yang memperolehi keseluruhan A atau Gred Cemerlang Tertinggi (A+) menunjukkan peningkatan ketara daripada hanya lima pelajar pada 2009 melonjak kepada 17 pelajar.

Kesemua 17 pelajar yang mendapat keseluruhan A dengan Gred Cemerlang Tertinggi (A+) diberi hadiah komputer riba oleh Menteri Besar sewaktu pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, baru-baru ini.



Menteri Besar berkata, semua pelajar yang mendapat keputusan A bagi setiap mata pelajaran yang diambil akan menerima wang ganjaran tersebut.

Sementara itu, 623 murid Tahun 5 daripada tujuh sekolah rendah di kawasan DUN Bukit Payong menerima e-Book masing-masing daripada Menteri Besar pada majlis berkenaan.




Bicara Media Sempena 3 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu


Rumah mampu milik bakal dibina di DUN Bukit Tunggal

Oleh: Suriati Ali

Taman perumahan bernilai RM30 juta yang bakal diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal tahun ini nyata dapat membantu penduduk setempat terutama berpendapatan rendah memiliki kediaman.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, projek rumah mampu milik yang melibatkan 300 unit rumah pangsa setinggi empat tingkat itu dijangka siap akhir tahun depan.

“Pihak kami masih mencari tapak kediaman seluas kira-kira dua hektar di kawasan DUN Bukit Tunggal untuk membangunkan projek berkenaan yang sudah mempunyai peruntukan.

"Apabila siap kelak, projek itu akan dilengkapi dengan pelbagai prasarana termasuk surau, dewan orang ramai, taman permainan dan tempat letak kenderaan semata-mata untuk keselesaan serta kemudahan penduduk," katanya.

Dato’ Mohd Nasir berkata projek berkenaan dilihat mampu menangani masalah kekurangan tempat tinggal terutama bagi golongan muda yang sudah mempunyai berkeluarga.

Katanya, projek berkenaan sangat diperlukan memandangkan kawasan Kuala Nerus khasnya Bukit Tunggal begitu pesat membangun sekaligus dapat memenuhi hasrat penduduk yang ingin lebih banyak taman perumahan diwujudkan di kawasan mereka.




500 kaki pancing jangka sertai Cabaran Raja Kolam

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 500 kaki pancing tempatan dan luar Terengganu dijangka menyertai Cabaran Raja Kolam anjuran Kolam Pancing Textra (KPT) siri ke-3 dengan kerjasama Terengganu Agrotech Development Corp.Sdn Bhd (TADC), di Bukit Payong, Marang.

Pertandingan yang bakal dianjurkan pada 30 April ini, bermula jam 3 petang itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah hampir RM6,000 termasuk 30 cabutan bertuah.
Juara pertandingan bakal membawa pulang wang tunai RM3,000, tempat kedua RM2,000 dan ketiga RM500. Yuran penyertaan dan perkhidmatan untuk pertandingan itu hanya RM30 bagi setiap joran.

Pengurus KPT, Encik Muhd Rumzi Abdullah, berkata pelbagai kelebihan ditawarkan kepada peserta setiap kali menyertai pertandingan, termasuk semua ikan yang berjaya dipancing boleh dibawa pulang.

Katanya, selain menganjurkan pertandingan memancing secara bersiri, pihaknya turut membuka peluang kepada kaki pancing untuk memancing pelbagai jenis ikan di KPT pada setiap hari.

“Apa yang istimewanya setiap bayaran RM30 untuk tiga jam, kaki pancing tidak dikenakan sebarang syarat untuk membawa pulang ikan walaupun berjaya memancing melebihi 10 ekor ikan,” katanya.

Untuk memuaskan hati peserta, pelbagai jenis ikan seperti rohu, pacu, patin, siakap, keli, baung dengan anggaran berat 500 kilogram (kg) hingga 1,000 kg dilepaskan pada setiap minggu dan kesemua ikan itu dibiarkan lapar.

“Langkah itu membuatkan kaki pancing lebih ghairah dan bersemangat untuk memenuhi hobi masing-masing kerana ikan mudah terkena pancing,” katanya.




Jelapang padi baru tampung keperluan penduduk

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan Negeri akan membuka jelapang padi baru pada tahun 2013, selepas semua kawasan jelapang padi yang dirancang di Kampung Mak Jintan, Setiu, sudah ditanam dengan tanaman padi. - Foto: Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri akan mewujudkan jelapang padi baru di daerah Marang membabitkan kawasan seluas 600 hektar bagi menampung keperluan penduduk negeri ini.

Tanah yang sesuai bagi tujuan itu sudah dikenalpasti dan pihak berkenaan diarah menentukan kos bagi membolehkan kerja-kerja menyediakan prasarana dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jelapang padi baru akan mula dibuka pada tahun 2013, selepas semua kawasan jelapang padi yang dirancang di Kampung Mak Jintan, Setiu, sudah ditanam dengan tanaman padi yang menjadi makanan asasi penduduk tempatan.

Beliau berkata, sehingga ini 400 hektar daripada tanah seluas 600 hektar yang dirancang untuk ditanam padi di Jelapang Padi Setiu, sudah ditanam dan mula mengeluarkan hasil 3.5 metrik tan hingga 4 metrik tan bagi setiap hektar.

“Kita jangkakan setelah jelapang padi baru di kawasan Jenang, Marang ini dibuka, tanaman padi di seluruh negeri ini akan mampu menampung keperluan penduduk tempatan,” katanya pada sidang media selepas majlis pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun 5 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, di Sekolah Kebangsaan Paya Resak, hari ini.

Jelapang padi Setiu yang dirancang bagi menambah bekalan beras di negeri ini, dimulakan pada 1 Mei 2009 apabila kerja-kerja menabur benih dimulakan di mana pada peringkat awal ia hanya membabitkan 78 peserta dengan keluasan tanah 73 hektar.

Menteri Besar hadir sendiri ke Kampung Mak Jintan beberapa bulan selepas itu apabila padi mula menguning, untuk menuai hasil pertama menggunakan jentera penuai padi moden.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM48 juta bagi menyediakan pelbagai prasarana di kawasan Jelapang Padi Setiu, termasuk pembinaan saliran lain bagi membolehkan petani menanam padi dua kali setahun.

Dato’ Ahmad berkata, selepas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menentukan kos pembinaan prasarana di kawasan jelapang padi baru itu, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan yang sesuai, bagi melaksanakan segera projek berkenaan.

Projek jelapang padi di Setiu menggunakan modul tanaman padi di Sekinchan, Selangor, yang merupakan kawasan pengeluaran padi utama negara dan hasilnya lebih tinggi berbanding daerah lain seluruh negara.



RM62 juta untuk e-Book dan Pegawai Eksekutif Maklumat setahun

Oleh: Aida Abd Rahman


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. - Foto: Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM62 juta setahun bagi menyediakan e-Book kepada setiap pelajar Tahun Lima serta menggaji Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) yang ditempatkan di setiap sekolah seluruh Terengganu bagi memantau keberkesanan penggunaan papan digital elektronik itu.

Sehingga kini, sebanyak 69, 798 e-Book sudah diagihkan sejak 2009. Daripada jumlah itu, sebanyak 21,923 diagihkan kepada pelajar Tahun Empat.

Seramai 91,725 pelajar akan mendapat manfaat daripada penggunaan papan digital elektronik itu sehingga penghujung tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan membelanjakan RM1 juta sebulan atau RM12 juta setahun bagi membayar gaji EIO, manakala RM50 juta (setahun) diperuntukkan untuk menyediakan e-Book kepada pelajar Tahun Empat dan Lima.

Seramai 422 EIO ditempatkan di 348 sekolah menengah dan 74 sekolah rendah seluruh Terengganu. Manakala 128 juruteknik sekolah turut dilantik dan ditempatkan di setiap daerah bagi membaiki sebarang kerosakan kecil yang berlaku pada e-Book.

“Kita belanjakan RM12 juta setahun untuk bayar gaji EIO, manakala RM50 juta untuk bekalkan e-Book kepada setiap pelajar. Malah, kira-kira 3,500 guru Tahun Enam juga dibekalkan dengan kemudahan komputer riba.

“Perbelanjaan menyediakan kemudahan itu termasuk dalam peruntukan keseluruhan RM200 juta setahun yang disediakan Kerajaan Terengganu bagi tujuan pendidikan dan modal insan. Tiada negeri lain yang sanggup memperuntukkan jumlah yang besar sebagaimana Terengganu,” katanya ketika Majlis Perjumpaan menteri Besar Bersama-sama Pengetua, Guru Besar dan EIO, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (27 Mac).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran , Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud dan Pengurus Besar Kolej Pusat Kemahiran dan Pembangunan Negeri Terengganu (Tesdec), Haji Che Razali Adis.

Sementara itu, Menteri Besar meminta supaya EIO yang dilantik dapat menyelaras tugas mereka dengan 800 guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (Akram) khususnya dalam menyediakan soalan untuk program T-Skor.

“Saya berharap supaya EIO dapat menjalankan tugas dengan lancar serta membantu menjayakan matlamat kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu.

“Pelantikan EIO sebagai nilai tambah dalam memastikan keberkesanan penggunaan e-Book dan kita akan melakukan nilai tambah itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 14 kekosongan EIO yang bakal diisi oleh mereka yang berkelayakan tidak lama lagi.





Hadiah buat pelajar cemerlang STPM 2010

Oleh: Aida Abd Rahman


EKSKLUSIF TEMUBUAL PELAJAR TERBAIK SPM 2010

Pengiktirafan buat pelajar cemerlang diteruskan lagi apabila Kerajaan Terengganu menunaikan janji menghadiahkan komputer riba kepada 13 pelajar cemerlang Sjil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010, semalam.

Pelajar yang berjaya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 (empat flat) menerima hadiah itu daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sempena Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama-Sama Pengetua, Guru Besar dan EIO (Pegawai Ekskutif Maklumat), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran , Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud

Dalam keputusan 21 Februari lalu, seramai 13 pelajar mendapat PNGK 4.00 berbanding hanya lapan pelajar bagi 2009 atau pertambahan (PNGK) 0.11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Keputusan berkenaan juga mengekalkan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam keputusan peperiksaan awam itu bagi seluruh negara buat kali ketiga berturut-turut.

Rentetan itu, kerajaan negeri akan menghantar 30 guru besar atau penolong kanan yang mempunyai pelajar STPM ke luar negara sebagai hadiah galakan.

Menteri Besar sebelum itu berkata kerajaan tidak pernah teragak-agak untuk menyediakan pelbagai pengiktirafan kepada pelajar yang cemerlang sebagai menghargai pencapaian mereka dan ia menjadi kesinambungan bagi mencetus semangat pelajar lain untuk turut sama merealisasikan kegemilangan itu.

Selain pelajar cemerlang STPM, Menteri Besar terlebih dahulu menyampaikan computer riba kepada 17 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia di majlis pengumuman peperiksaan itu, Di Sekolah menengah Agama Tok Jiring, Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Seorang pelajar cemerlang SPM 2010 berkenaan, Nur Zulaikha Ismail, 18, dari Kampung Pantai Batu Rakit, menyifatkan hadiah itu menjadi azimat yang cukup berharga kepadanya, apatah lagi mengurangkan bebannya bagi membeli komputer riba yang baru apabila menjejakkan kaki ke menara gading kelak.

“Saya amat bertuah dan berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan khususnya Menteri Besar kerana menyediakan laptop bagi kemudahan saya kelak. Saya pastinya akan menjaga hadiah ini dengan sebaik mungkin kerana ia menjadi kenangan yang cukup bernilai buat saya,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai bantuan pendidikan yang harus dimanfaatkan oleh pelajar dengan sebaik mungkin dan mencipta kejayaan yang boleh membanggakan semua pihak.



JPJ Terengganu keluar 535 notis cermin gelap

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu telah mengeluarkan 535 notis bagi kesalahan cermin gelap kenderaan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pegawai Khidmat Pelanggan, JPJ Terengganu, Puan Rohaya Muda berkata, operasi khas cermin gelap telah diadakan secara besar-besaran membabitkan 60 anggota penguatkuasa dan pihak JPJ sejak awal Januari lalu.

“Beberapa lokasi operasi telah dijalankan termasuklah di Jalan Sultan Mahmud (hadapan mahkamah) serta jalan-jalan utama dalam Operasi Tahun Baru Cina,” katanya kepada Teganukita.

Mengikut statistik katanya, sebanyak 375 notis kesalahan berkenaan telah dikeluarkan sepanjang Januari, diikuti 45 notis pada Februari dan 115 lagi pada bulan Mac.

Menurutnya, kesalahan menggunakan cermin gelap pada kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 5 (Larangan Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991 dan dikeluarkan Notis Arah Periksa di bawah Seksyen 61 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu kenderaan yang disabitkan dengan kesalahan tberkenaan diberi tempoh 10 hari untuk hadir ke mana-mana JPJ untuk diambil tindakan membuka cermin gelap tersebut,” katanya.

Sehubungan itu katanya, JPJ akan terus mengadakan penguatkuasaan cermin gelap secara berterusan dari semasa ke semasa untuk menyedarkan pemilik kenderaan supaya tidak mengambil mudah perkara yang boleh disabitkan dengan kesalahan.





Pelajar Melayu perlu pro-aktif

Oleh: Esah Abdullah

Pelajar Melayu perlu bersikap pro-aktif, berdaya saing dan menimba pelbagai pengetahuan dan kemahiran ketika berada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta.

“Sikap mudah berpuas hati dan lulus sekadar ‘cukup makan’ mengakibatkan mereka sukar menempatkan diri dalam dunia pekerjaan apabila tamat pengajian kelak,” kata Setiausaha Politik Menteri Besar, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abd. Hamid.

Sikap begini katanya, akan merugikan diri sendiri dan selagi tidak dibuang, selama itulah mereka tidak akan dapat bersaing dengan kaum lain.

“Sebagai anak muda yang akan mewarisi kepimpinan negara, semangat jati diri serta berkeyakinan dan bijak berkomunikasi harus dimiliki oleh setiap penuntut universiti kerana merekalah akan mewarnai masa depan negara,” katanya

Encik Wan Ahmad Nizam yang merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Belia Daerah Kemaman di Dewan Majlis Perbandaran, Kemaman itu melahirkan kekesalan kerana ada graduan Melayu tidak bersedia ketika menghadiri temu duga serta mengabaikan etika berpakaian.

Selain itu katanya, pemilihan bidang pengajian yang diambil juga perlu diberi perhatian selain minat biarlah bersesuai dengan keperluan semasa supaya tidak sukar mencari pekerjaan bila tamat pengajian nanti.

Katanya, pelbagai bantuan pendidikan disediakan oleh kerajaan dan penuntut harus menjadikannya sebagai dorongan untuk terus cemerlang di samping dapat meningkatkan taraf kehidupan keluarga masing-masing.

Pada majlis berkenaan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah menyerahkan sumbangan komputer idola kepada Majlis Belia Negeri (MBN) untuk diagihkan kepada badan-badan gabungan antaranya Persatuan Pandu Puteri, Pergerakan Belia 4B, MAYC dan sebagainya.




Pas abai golongan belia

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek menegaskan golongan belia kini semakin rapat dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mereka sudah faham dan sedar bahawa pakatan pembangkang gagal menyumbang perkara yang lebih baik kepada mereka.

Beliau berkata, kejayaan meraih semula sokongan belia jelas terbukti dengan kemenangan BN pada beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini yang turut disokong undi daripada golongan tersebut.

Bercakap kepada wartawan selepas Karnival Belia 1Malaysia peringkat Asajaya di Sarawak, semalam, beliau berkata pilihan raya kecil seluruh negara sejak daripada Batu Sapi, Tenang sampailah ke Kerdau dan Merlimau, semua peti undi belia sudah menunjukkan belia bawah 40 tahun berpihak kepada BN.

“BN telah menunjukkan rekod yang baik dalam menyokong perkembangan dan kemajuan golongan belia khasnya dari segi pendidikan, perkembangan potensi dalam pelbagai aspek kemahiran,” ujar beliau.

Kenyataan Dato’ Ahmad Shabery ini merupakan fakta yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak kerana golongan belia memang terabai semasa Pas memerintah negeri ini dari tahun 1999 hingga 2004.

Pada waktu itu kerajaan negeri tidak menghulurkan sebarang sumbangan kepada golongan belia, persatuan belia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Pada masa pemerintahan Pas banyak persatuan belia yang ‘terkubur’ kerana gagal mendapatkan dana bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang.

Keadaan ini jauh berbeza setelah BN menguasai semula pemerintahan negeri ini di mana persatuan belia diberi bantuan kewangan pada setiap tahun bagi menjalankan pelbagai aktiviti.

Tidak cukup dengan itu, sambutan hari belia pula diadakan bagi memberi pengiktirafan terhadap sumbangan golongan berkenaan sama ada secara individu mahu pun persatuan.

Malah, golongan itu turut dapat menjalankan aktiviti sukan dan riadah dengan bantuan diberi daripada kerajaan negeri mahu pun Jabatan Belia dan Sukan.

Justeru itu, Dato’ Ahmad Shabery berkata, beberapa penganjuran program belia oleh BN selama ini jelas mendapat sambutan memberangsangkan dengan lebih banyak penyertaan golongan belia.

Sokongan golongan belia ini amat didambakan oleh BN bagi memastikan ia terus menerajui pemeintahan negeri ini dan negara amnya.