Kira-kira 500 kaki pancing tempatan dan luar Terengganu dijangka menyertai Cabaran Raja Kolam anjuran Kolam Pancing Textra (KPT) siri ke-3 dengan kerjasama Terengganu Agrotech Development Corp.Sdn Bhd (TADC), di Bukit Payong, Marang.
Pertandingan yang bakal dianjurkan pada 30 April ini, bermula jam 3 petang itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah hampir RM6,000 termasuk 30 cabutan bertuah.
Juara pertandingan bakal membawa pulang wang tunai RM3,000, tempat kedua RM2,000 dan ketiga RM500. Yuran penyertaan dan perkhidmatan untuk pertandingan itu hanya RM30 bagi setiap joran.
Pengurus KPT, Encik Muhd Rumzi Abdullah, berkata pelbagai kelebihan ditawarkan kepada peserta setiap kali menyertai pertandingan, termasuk semua ikan yang berjaya dipancing boleh dibawa pulang.
Katanya, selain menganjurkan pertandingan memancing secara bersiri, pihaknya turut membuka peluang kepada kaki pancing untuk memancing pelbagai jenis ikan di KPT pada setiap hari.
“Apa yang istimewanya setiap bayaran RM30 untuk tiga jam, kaki pancing tidak dikenakan sebarang syarat untuk membawa pulang ikan walaupun berjaya memancing melebihi 10 ekor ikan,” katanya.
Untuk memuaskan hati peserta, pelbagai jenis ikan seperti rohu, pacu, patin, siakap, keli, baung dengan anggaran berat 500 kilogram (kg) hingga 1,000 kg dilepaskan pada setiap minggu dan kesemua ikan itu dibiarkan lapar.
“Langkah itu membuatkan kaki pancing lebih ghairah dan bersemangat untuk memenuhi hobi masing-masing kerana ikan mudah terkena pancing,” katanya.