Halaman

01 April 2011

66,000 PENGUNDI BARU BERJAYA DIDAFTARKAN UMNO TERENGGANU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Umno Terengganu berjaya mendaftar kira-kira 66,000 pengundi baru dari kalangan pendokong parti berkenaan di seluruh negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato' Seri Haji Ahmad Said memberitahu Teganukita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri di Pejabat Umno Terengganu, Jalan Sultan Mahmud di sini sekejap tadi (31 Mac 2011).


Difahamkan pendaftaran itu berjaya dibuat dalam tempoh Januari dan Februari baru-baru ini, merupakan suatu angka tertinggi yang pernah dilakukan oleh Umno Terengganu bagi menjamin kemenangan selesa dalam pilihan raya umum akan datang.

Dato' Seri Ahmad juga berkata, mesyuarat perhubungan pada malam ini membincangkan lawatan kerja YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ke Terengganu pada 30 April ini.

Katanya, Perdana Menteri selaku Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan hadir ke dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Tunggal (Kuala Nerus) dan Manir (Hulu Terengganu).

Perdana Menteri akan merasmikan perumahan rakyat dan melawat pasar di Kuala Nerus dan akan hadir di perhimpunan bersama rakyat di Pulau Bahagia, DUN Manir.

Hadir dalam mesyuarat yang berakhir jam 12.45 malam ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan, YB Haji Yahya Khatib Mohamad, Setiausaha,Dato' Tengku Putera Awang,Ketua Penerangan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Bendahari, Datuk Zaabar Mohd.Adib dan Ketua-Ketua Bahagian.