Halaman

27 March 2011

Terengganu tubuh koperasi kariah masjid

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu bakal menjadi negeri ketiga yang menubuhkan koperasi kariah masjid bagi membantu menjana ekonomi masyarakat setempat.

Perancangan itu kemungkinan akan dilaksanakan di kesemua 480 masjid bermula pertengahan tahun ini. Selain Terengganu, Selangor dan Pahang sudah menubuhkan koperasi itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata usaha itu sebagai satu langkah bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat menjana pendapatan mereka menerusi peluang perniagaan yang boleh diceburi.

Beliau berkata, penubuhan koperasi itu kelak mampu memenuhi hasrat kerajaan mewujudkan satu kampung, satu koperasi dengan setiap koperasi menerima peruntukan RM10,000 daripada kerajaan negeri mengikut syarat yang ditetapkan.

“Antara syaratnya ialah setiap koperasi perlu mempunyai projek yang mahu dijalankan, barulah kerajaan meluluskan peruntukan RM10,000 berkenaan,” katanya selepas mengadakan perbincangan itu di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Presiden Angkasa, Prof Dato’ Dr Mohd Ali Baharum, Pengerusi Angkasa negeri, Encik Mohamed Jais Hassan serta wakil SKM dan JHEAT.

Katanya, selain menjalankan aktiviti ekonomi, usaha itu juga dapat melebarkan lagi aspek kebajikan yang dijana bersama masyarakat setempat.

“Perbincangan sudah dijalankan dengan Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebelum perkara itu dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, satu seminar mengenai langkah serta kaedah bagaimana koperasi kariah masjid dapat ditubuhkan bakal dijalankan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, pada 28 April depan.