Tengku Sri Laksamana Raja bersama Menteri Besar diperhatikan Dato' Abdul Rahin ketika merasmikan Terengganu World Invitational Jetrace Challenge (TWIJC) 2011, di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, - Foto: Syed Abdul Rahman.
Penganjuran pelbagai program dan sukan bertaraf antarabangsa mampu meningkatkan graf kedatangan pelancong asing ke Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sektor pelancongan kini menjadi tulang belakang dan antara yang terpenting untuk menjana ekonomi negeri dan seterusnya membantu mengubah kehidupan rakyat supaya dapat hidup lebih selesa.
Katanya, kerajaan negeri tidak boleh mengharapkan kepada hasil petroleum dan gas semata-mata kerana sumber itu berkemungkinan akan berkurangan pada masa akan datang.
“Pelbagai pendekatan dilaksanakan, termasuk menganjurkan sukan bertaraf dunia seperti yang berlangsung sekarang ini, melaluinya peserta dapat mengenali secara lebih dekat tentang keindahan, kemakmuran dan keunikan yang dimiliki Terengganu.
“Kita perlu bijak berfikir dan melakukan sesuatu untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini yang sememangnya kaya dengan adat resam dan keindahan alam semulajadi,” katanya kepada media selepas merasmikan Terengganu World Invitational Jetrace Challenge (TWIJC) 2011, di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam tadi (1 April).
TWIJC berlangsung selama tiga hari dan berakhir 3 April ini bakal mempamerkan aksi lasak 25 pasukan dari sembilan negara. Malaysia pula menghantar 12 pasukan termasuk satu dari Terengganu.
Dato Seri Haji Ahmad turut memberitahu, sebagai anak jati Terengganu, kita perlu tonjolkan sifat peramah, budi pekerti mulia dan sentiasa senyum ketika melayan tetamu atau pelancong yang datang.
“Saya percaya sekiranya semua pihak terutama pemandu teksi dan peniaga di negeri ini mempamerkan sifat mulia ini, sudah tentu Terengganu menjadi lokasi wajib pelancong asing untuk dikunjungi setiap kali datang ke Malaysia,” katanya.