Halaman

02 April 2011

Kerajaan rangka kajian kualiti hidup

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda (tiga dari kanan) merasmikan Kempen Keselamatan Dan Pencegahan Jenayah anjuran Kerajaan Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sekolah Menengah Sultan Mansor, Kuala Terengganu. - Foto: Zulkipli Putra.

Kerajaan Terengganu sedang merangka untuk menyiapkan kajian kualiti hidup di negeri ini bagi memudahkan usaha menangani masalah jenayah, terutama yang melibatkan golongan remaja.

Langkah itu penting kerana kajian mengenai perkara itu merupakan salah satu petunjuk utama kualiti kehidupan yang meliputi aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, berkata jenayah bukan sahaja memberi kesan atau impak negatif kepada kehidupan, malah ia juga memberi kesan psikologi kepada rakyat.



“Jenayah juga boleh memberi ketakutan kepada masyarakat jika tidak ditangani dengan berkesan,” katanya sewaktu berucap merasmikan Kempen Keselamatan Dan Pencegahan Jenayah anjuran Kerajaan Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sekolah Menengah Sultan Mansor, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Dato’ Jamsah Mustapa; Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda dan Pengetua SMK Sultan Mansor, Haji Zakaria Abd Rahman.

Pelbagai acara, termasuk pameran dan demonstrasi mencegah jenayah diadakan di sekolah itu sempena program sehari itu.

Dato’ Haji Wan Ahamad berkata, pendekatan PDRM dalam melaksanakan pelbagai program mencegah dan memerangi jenayah adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk melibatkan rakyat dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam.



Beliau berkata, penglibatan golongan muda dalam kegiatan salah laku disiplin merupakan perbuatan yang perlu ditangani secara serius oleh semua pihak.

“Gejala tersebut boleh memberi kesan impak yang negatif terhadap usaha kerajaan sekiranya tidak ditangani dengan segera dan berkesan di peringkat awal,” ujar beliau.