Halaman

27 March 2011

Sukan renang cari bakat baru

Oleh: Esah Abdullah

Usaha mengilap bakat sukan di kalangan rakyat di negeri ini sentiasa mendapat perhatian dan yang terbaru akan mengadakan program bagi mengenal pasti bakat baru dalam sukan renang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat berkata, Program Pengenalpastian Bakat Akuatik (TID Akuatik) akan dilancarkan pada minggu depan (2 April).

Katanya, program berkenaan akan diadakan di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di Batu Burok dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Renang Negeri Terengganu.

“Program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk mencari dan mengilap bakat serta melahirkan pelapis dalam sukan berkenaan untuk mewakili negeri dan negara,” katanya.

Selain itu katanya, usaha ini turut mempromosi pusat berkenaan yang baru beroperasi semula sebulan lalu setelah ditutup sejak 2009 untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kerana mengalami kebocoran di beberapa bahagian.

“Pusat akuatik yang berharga RM18 juta ini mula digunakan dalam Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) pada 2008 di mana Terengganu menjadi tuan rumah dan sekali gus telah muncul juara pada kejohanan berkenaan,” katanya.