Halaman

29 March 2011

Pemimpin turun padang bantu mangsa banjir di Tok Jembal

Oleh: Aida Abd Rahman



Sikap sanggup susah senang bersama rakyat menjadi amalan pemimpin Barisan Nasional (BN) sejak zaman berzaman lagi.

Dalam perkembangan terbaru, nasib 26 keluarga dari kawasan Taman Perumahan Murni Permai, Tok Jembal, Kuala Terengganu yang menjadi mangsa banjir dan rumah mereka ditenggelami air akibat hujan berterusan sejak seminggu lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, sanggup meredah malam untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Dalam kejadian pertama, seramai 69 keluarga dari kawasan itu dipindahkan ke SK Tok Jembal pada malam Khamis lalu.

Haji Ahmad Razif kesal dengan kejadian yang berulang kali itu, namun berharap penduduk di kawasan berkenaan bersabar dengan ujian Ilahi itu dan memastikan keselamatan nyawa dan barangan mereka terjamin.

“Kerajaan akan membantu mangsa banjir bagi meringankan bebanan mereka selain mengarahkan semua pihak berwajib termasuk Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

“Apabila sudah ketahui punca kejadian, kita akan cari jalan bagi mengatasi masalah ini dan supaya ianya tidak berulang lagi,” katanya.

Katanya, kerjasama semua pihak khususnya badan bukan kerajaan, penduduk setempat dan pelajar Universiti Malaysia Terengganu diperlukan bagi bergotong-royong membersih rumah dan kawasan sekitar akibat kesan banjir itu kelak.