Halaman

31 March 2011

Textra tawar pakej istimewa kepada kaki pancing

Oleh: Suriati Ali

Syarikat milik Bumiputera, Textra Enterprise (Textra) menawarkan pelbagai kelebihan kepada ahli kelab Kolam Pancing Textra (KPT) setiap kali memenuhi hobi masing-masing di kolam ikan air tawar Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang.

Setiap enam kali memancing dengan pakej RM20 untuk tiga jam diberi percuma satu kali memancing, jemputan memenuhi pelbagai aktiviti KPT termasuk bermain futsal, badminton, boling dan barbeku (BBQ).

Kelebihan lain, menyertai trip KPT memancing di Tasik Kenyir, pelbagai pantai dan mencandat sotong di laut.

KPT dibuka setiap hari kepada orang ramai bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, manakala Khamis, Jumaat dan Sabtu dibuka selama 24 jam itu sememangnya mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada kaki pancing tempatan dan luar Terengganu.

Pengurus Textra, Encik Muhammad Irewan Abd Jalil, berkata KPT yang diusahakan bersama rakan kongsi Muhd Rumzi Abdullah awal tahun lalu bukan saja dibuka di kalangan ahli sahaja malah kepada pelbagai kaum dan peringkat umur boleh memancing di lokasi ikan air tawar itu.

Katanya, kebiasaannya seramai 70 hingga 100 pemancing akan mengunjungi KPT pada setiap hari dan bilangan tersebut akan bertambah apabila tiba cuti sekolah dan hujung minggu.

“Kami cukup gembira dan berpuas hati sekiranya dapat melihat reaksi gembira dan sorakan pemancing ketika merasai sentapan dan henjutan pelbagai spesis ikan air tawar yang mengena joran.

“Perniagaan yang ditawarkan syarikat kami cukup berbeza, kerana setiap ikan yang berjaya dipancing boleh dibawa pulang tanpa mengenakan sebarang syarat walaupun berjaya memperoleh berat ikan melebihi puluhan kg setiap hari,” katanya.