Halaman

29 March 2011

Negara Brunei puji langkah kerajaan wujud kelas maya

Oleh; Esah Abdullah

Kelas Maya yang diperkenalkan kerajaan negeri telah mendapat perhatian dan pujian daripada beberapa agensi pendidikan dalam dan luar negara.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud berkata, kelas maya perintis yang mula beroperasi Februari lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga di Kuala Terengganu, dikunjungi pegawai dari Pejabat Pelajaran negeri-negeri di Semenanjung dan luar negara.

Setakat ini, katanya, kelas maya berkenaan telah menerima kedatangan pegawai dari Jabatan Pelajaran Johor, Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dan yang terbaru dari Kementerian Pelajaran Negara Brunei Darul Salam.

“Mereka datang untuk membuat kajian serta melihat sendiri kaedah belajar secara interaktif dan peperiksaan melalui talian serta impak kepada pelajar yang mengikuti kelas berkenaan,” katanya pada majlis Penyerahan e-Book Pelajar Tahun 5 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang, petang semalam.

Katanya, mereka tertarik dan memuji usaha kerajaan negeri yang begitu komited dalam usaha memberikan yang terbaik kepada rakyat khususnya dalam bidang pendidikan.

Beliau selaku orang yang bertanggungjawab dalam arah tuju pendidikan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang tidak pernah putus idea memberi tambah nilai dalam bidang pendidikan di negeri ini.

“Apabila wujudnya kelas maya ini hasil kerja termasuk jawapan dan markah boleh dilihat pada skrin sesentuh di hadapan kelas selain pelajar tidak boleh membuka aplikasi lain termasuk permainan komputer,” katanya

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa, guru dan pelajar perlu melihat usaha kerajaan ini dari sudut positif demi masa depan bangsa dan negara yang cemerlang dan gemilang.

Pada majlis itu, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said menyerahkan e-Book kepada 916 pelajar daripada 14 buah sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, Marang.