Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan menganjurkan Program Jejak Warisan ke beberapa lokasi bersejarah sekitar Dungun yang dijadualkan bermula esok (3 April) hingga 5 April ini.
Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta program dan berkongsi kawasan bersejarah untuk didokumentasikan.
Katanya, pelaksanaan program ilmu ini mampu memperkukuhkan kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap pentingnya menghargai sejarah dan mencintai ilmu.
“Pelbagai tempat bersejarah akan dijejaki sepanjang program tiga hari, antaranya Bukit Che Hawa dan Rantau Abang bagi menjejaki lagenda `batu penyu', manakala tugasan kedua pula akan menjejaki Bukit Tebuk.
“Kita juga berusaha menjejaki sejarah Panglima Hitam Tambun di Kampung Tengah, Kuala Dungun selain menjejaki sejarah Sultan Yahya Siak di Kampung Che Lijah dan sejarah Pak Soh Kumpal dan pelbagai tempat sejarah lain,” katanya.
Menurutnya, melalui program ini, peserta dapat mengenali adat resam dan budaya masyarakat setempat dengan lebih dekat serta tempat-tempat menarik di negeri ini.