Belum pun bertempur di ‘medan perang’, parti pembangkang sudah mula bercakaran sesama sendiri di Sarawak.
Inilah bahana ‘perkahwinan kontrak’ yang diamalkan pembangkang, kerana masing-masing tidak ikhlas dalam perjuangan.
Pilihan raya Sarawak yang bakal diadakan pada 16 April dengan jelas membuktikan keadaan ini apabila DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah berbalah sesama sendiri berkaitan isu perebutan kerusi untuk ditandingi pembangkang pada pilihan raya tersebut.
Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, mengadakan sidang media berasingan pada 25 Mac lalu, untuk menyatakan pendirian masing-masing berhubung pembahagian kerusi antara pembangkang.
Hong Leong dalam sidang medianya menyelar PKR dengan menyatakan parti itu tamak dan tidak mahu bertolak ansur dengan rakan pakatan (pembangkang).
Manakala Bian yang mengadakan sidang media selepas itu, mendakwa PKR lebih kuat dan berpengaruh di beberapa kawasan dan bertegas mahu calon parti itu bertanding.
Masalah ini adalah fenomena biasa dalam paktan pembangkang kerana masing-masing berpendapatan parti mereka lebih kuat dan layak bertanding sedangkan ia tidak berlaku dalam Barisan Nasional (BN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Sarawak ke-10 akan diadakan pada 16 April iaitu hari Sabtu manakala penamaan calon 6 April (Rabu).
Berdasarkan Pilihan Raya Sarawak ke-9 yang diadakan pada 20 Mei 2006, Barisan Nasional (BN) memenangi 62 kerusi daripada keseluruhan 71 kerusi yang dipertandingkan.
Parti Tindakan Demokrat (DAP) pula hanya menang enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuma menang satu kerusi.
Dua parti lain iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan calon Bebas (Parti Cinta Malaysia) masing-masing menang satu kerusi.
Pertelagahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang itu sudah pasti akan memberi kelebihan kepada BN dan tidak mustahil BN dapat menambah bialngan kerusinya pada pilihan raya kali ini.