Halaman

02 April 2011

Pelajar Terengganu di Moscow Sertai Karnival Sukan 1 Malaysia

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan



Dalam kesibukan harian memberikan tumpuan menimba ilmu dengan kuliah, latihan, praktikal dan tugasan. Pelajar Yayasan Terengganu yang berada di Moscow berkesempatan menyertai Sukan 1 Malaysia yang dianjurkan oleh KUMOSC dan mendapat tajaan utama daripada Rakan Muda dengan kerjasama SAB Medic pada 27 Mac 2011 lalu.

Karnival yang berlangsung di Dewan Russian State Medical University(RSMU), Moscow dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam itu telah dirasmikan oleh Dekan Pelajar Luar Negara, RSMU, Beespalyuk Georgiy Nikolaevich.

Aktiviti ini telah menyaksikan perlawanan sengit antara pasukan-pasukan pelajar lelaki dan perempuan dari First Moscow State Medical University (FMSMU), Russian State Medical University (RSMU), Moscow Aviation Institute (MAI) dan Saint Petersburg State Marine Technical University (SMTU) dalam acara futsal, bola keranjang, bola jaring serta 'dodgeball'.

“Permainan Dodgeball ini diadakan di saiz gelanggang bola tampar dengan tujuan mengeluarkan semua pemain pihak lawan dengan membuat mereka "OUT". Ini dapat dilakukan dengan cara melempar bola ke arah pemain lawan tidak kira di mana-mana bahagian badan pihak lawan termasuk bahagian kepala,badan atau kaki atau menangkap bola yang dilemparkan oleh pihak lawan dengan kemas sebelum menyentuh gelanggang.”

Di samping itu, karnival yang diadakan ini telah menjalinkan hubungan silaturahim sesama komuniti pelajar Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa, aktiviti ini dapat memberikan kecergasan fizikal dan minda pelajar.



Jawatankuasa penganjur telah menyediakan sarapan pagi untuk setiap peserta dan peserta yang hadir telah diberikan t-shirt karnival.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Volodin Nikolai Nikolaevich, Rektor RSMU dan turut dihadiri Igor Kurinnoi, Master Sportzal, Encik Abdul Razak bin Abdul Wahab, Menteri Penasihat/ Timbalan Ketua Perwakilan Mejar Suhaimi Mohamad, Assistant Defence Attachee dan Encik Suhaimi Zainudin, Pegawai MARA.

Dalam ucapan penutup, Rektor RSMU memuji semua yang terlibat dalam menjayakan Karnival Sukan 1 Malaysia yang dianjurkan menunjukkan semangat kesukanan dan kerjasama yang begitu tinggi oleh peserta, penonton yang datang dan memberikan sokongan.



Selain itu pengunjung juga dapat menikmati hidangan istimewa yang diadakan gerai jualan variasi makanan Malaysia.