Halaman

02 April 2011

Kanak-kanak TPK mula hafaz surah lazim

Oleh: Suriati Ali


Menjadi rutin bagi kanak-kanak di TPK menghafaz surah-surah lazim bersama ustaz dan ustazah sebelum memulakan pembelajaran dan aktiviti harian. - Foto: Zulkipli Putra.

Kanak-kanak berumur tiga dan empat tahun di 65 Taska Permata Keluarga (TPK) milik Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di seluruh negeri ini mula menghafaz 23 surah lazim yang dijangka diperdengarkan kepada umum September nanti.

Pengurus Taska TPK Batas Baru, Kuala Terengganu, Puan Norhayati Omar, berkata menjadi rutin pagi bagi kanak-kanak di TPK menghafaz surah-surah lazim bersama ustaz dan ustazah sebelum memulakan pembelajaran dan aktiviti harian.

“Kanak-kanak berkenaan dipastikan peka dengan amalan itu supaya tidak ketinggalan. Mereka yang menunjukkan minat saja akan dipilih menyertai Program Menghafaz 23 Surah Lazim. “Ibu bapa disarankan membantu anak-anak menghafaz setiap surah dikehendaki di rumah supaya lebih cepat ingat dan lancar,” katanya.

Pengarah YPK Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, berkata pihaknya mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai kanak-kanak TPK dalam menghafaz 23 surah lazim pada tahun ini. “Untuk capai sasaran berkenaan, setiap pagi mereka perlu menghafaz beberapa surah sebelum memulakan aktiviti dan pembelajaran.

Ketika aktiviti pun dimulakan dengan sebutan ayat-ayat suci al-Quran agar setiap patah perkataan itu mudah melekat di hati mereka,” katanya Tahun lalu katanya, 735 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun boleh menghafaz 23 surah lazim dan tahun ini jumlah itu akan lebih meningkat lagi.