Halaman

27 March 2011

Pilihan raya bukan tempat buat ujian

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menasihatkan penduduk Sarawak agar tidak menjadikan pilihan raya negeri itu yang akan berlangsung 16 April depan, sebagai tempat membuat uji kaji dengan memberi peluang kepada pembangkang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu.

Beliau yang pernah merasai sendiri pengalaman perit di bawah pemerintahan pembangkang, mengingatkan mereka akan tidak mempertaruhkan masa depan negeri itu hanya semata-mata kerana mahu mencuba sesuatu yang baru dalam politik pembangkang yang sebenarnya telah terbukti gagal untuk membawa apa-apa perubahan kepada rakyat.

Anak jati Sabah itu yang melalui pengalaman perit sepanjang tempoh 10 tahun negeri itu berada di bawah pemerintahan pembangkang masih terasa keperitannya apabila Sabah yang suatu ketika merupakan antara negeri termaju d i negara ini telah jatuh selepas itu.

Kenyataan ketua Puteri itu tentunya mendapat sokongan penuh daripada rakyat Terengganu yang turut merasai pengalaman pahit sewaktu berada di bawah pemerintahan pembangkang.

Negeri Terengganu bukan setakat mengalami gerhana selama empat tahun di bawah peemrintahan Pas, tetapi sebahagian besar penduduk tempatan mengalami pengalaman cukup perit apabila banyak hak mereka dinafikan parti pembangkang itu.

Sewaktu Pas memerintah negeri ini, anak-anak Tadika dihalau dari kelas mereka, elaun guru mengaji al-Quran dihentikan, kelas-kelas jahitan ditutup dan balai raya dirampas pemimpin Pas tempatan.

Dalam tempoh 1999 hingga 2004 jalan raya di kawasan kampung di seluruh negeri dibiar tanpa pengurusan sewajarnya menyebabkan ia berlubang dan menjadi perangkap maut.

Kerajaan Pas pada masa itu memecat imam dan bilal sesuka hati dan tidak kurang ramainya pegawai tadbir negeri ditukar kerana tidak sehaluan dengan kerajaan semasa.

Itulah bahana bakal diterima penduduk Sarawak jika mereka mahu melakukan ujikaji untuk menukar kerajaan negeri tersebut.

Kesan daripada sesuatu uji kaji melalui penukaran kerajaan yang memerintah bukan dirasai hari ini, sebaliknya ia akan memberi kesan kepada generasi akan datang.

Sebaliknya Kerajaan yang sedia ada di Sarawak di bawah Barisan Nasional (BN) telah terbukti banyak membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat serta negeri Sarawak dan ia seharusnya dipertahankan pada pilihan raya negeri nanti.

Memang benar kata Datuk Rosnah bahawa pembangkang tidak ada pengalaman dalam mentadbir kerajaan dan buktinya boleh dilihat di Selangor apabila Yayasan Selangor yang sebelum ini mempunyai dana sebanyak RM67 juta, selepas empat tahun memerintah menghadapi masalah defisit sebanyak RM7 juta.

Sesungguhnya rakyat Terengganu menyimpan begitu banyak kenangan silam di bawah pemerintahan Pas dan hati mereka tidak akan berdetik sesaat pun untuk menukar kerajaan sedia ada!