(khas sempena ulangtahun ke 3 (30 Mac) sebagai Ketua Kerajaan Terengganu)
Tiba-tiba kau hadir
menjunjung amanah termulia
di bahu kananmu memikul harapan rakyat
di bahu kirimu mengandar pesan keramat
di tanganmu ada segenggam penawar
di dadamu tersemat tulus
di bibirmu terungkap telus
lalu kau melangkah dan terus melangkah
memanjat gunung harap
menuruni jelapang rakyat
tiba-tiba kau tiba
di lautan ganas bergelora
dengan seribu gelombang
melambung bahtera
namun
persis seorang penganyam tikar
kau susun dan kau silang
gelombang menjadi sebuah hamparan
gelora menjadi bunga-bunga hiasan
di jelapang rakyat
sayang dan kasih bertebaran
rindu dan syahdu bertautan
hadirmu membawa ampuh
pengubat luka
penawar duka
tegasmu seteguh terumbu
hatimu selembut baldu
kaulah nakhoda ketika taufan
kau jugalah nakhoda tatkala tenang
rakyat di hatimu
di hati rakyat adalah kamu
penat dan jemu tiada tercatat dalam diarimu
derita rakyat deritamu jua
bangun bersama, duduk bersama
sawah sama dilumpuri
gunung sama dijulangi
lautan sama direnangi
antara kau dan rakyat
tiada dinding menghalangi
tiada pagar berduri
pintunya sentiasa terbuka
untuk didatangi
antara kau dan rakyat
gembira bersama, derita pun bersama
menjulang cita dan harapan
mempermatakan kehidupan
karya:
Putera Pesisir Air
Mengabang Telipot, Kuala Terengganu