Halaman

27 March 2011

Golongan muda dipelawa sertai JBPM

Oleh: Esah Abdullah

Golongan belia di negeri ini diminta tampil merebut peluang mengisi pelbagai kekosongan jawatan dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mula dibuka kepada orang ramai.

“Sepanjang tahun ini sebanyak 1,513 jawatan kosong ditawarkan,” kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Seri Lajim Ukin di Majlis Tamat Latihan di Akademik Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Kuala Terengganu.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 191 keperluan di Bahagian Pengurusan dan Profesional, manakala 370 kekosongan di Bahagian Sokongan 1 dan 952 lagi di Bahagian Sokongan 2.

“Kekosongan terbanyak iaitu 759 adalah bagi jawatan Pegawai Bomba, Gred KB17 (Bahagian Sokongan 2), oleh itu anak-anak muda termasuk yang bukan bumiputera serta berkelayakan jangan lepaskan peluang ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Lajim memberitahu, kementerian akan memastikan lapan buah balai bomba yang masih dalam pembinaan siap selewat-lewatnya tahun depan di mana projek ini adalah kesinambungan daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dato’ Seri Lajim turut memaklumkan kesediaan JBPM menyertai misi menyelamat di Jepun ekoran kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda negera berkenaan, namun setakat ini masih menunggu lampu hijau daripada kerajaan Jepun.