Halaman

29 March 2011

Penduduk puji sikap cakna Menteri Besar

Oleh: Suriati Ali

Sikap prihatin dan cakna pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turun padang bagi melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan, Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal, mendapat pujian mangsa banjir.

Kemunculan Menteri Besar ‘turun padang’ amat melegakan mereka yang ditimpa musibah itu.

Hasil tinjauan itu, Dato’ Ahmad berjanji untuk mengarahkan kerja-kerja membersih kembali longkang tersumbat, selain membina longkang bersaiz besar dalam masa terdekat.

Bagi pihak penduduk, mereka berharap arahan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seorang mangsa banjir yang juga kakitangan kerajaan, Encik Syukur Amit, berkata dia dan keluarga redha dengan kejadian ini walaupun sudah lima kali berlaku banjir sejak lima tahun menetap di kawasan ini.

“Saya mengharapkan PBT membersih semua longkang yang tersumbat dengan kadar segera kerana dibimbangi kejadian sama akan berulang,” katanya kepada pemberita Teganukita.
Puan Suhaila Salim, 35, berkata dia bernasib baik kerana kejadian yang berlaku kali kedua dalam bulan ini, suami Fauzi Lomel berada di rumah.

“Jika tidak situasi cemas dan kelam kabut seperti yang berlaku sebelum ini iaitu pada malam Khamis (24 Mac) lalu pasti berlaku lagi.

“Ketika kejadian pertama, saya bersama lima anak terpaksa mendapatkan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam untuk menyelamatkan diri kerana terlalu cemas apabila melihat air melimpah begitu pantas ke dalam rumah,” katanya.

Katanya, akibat kejadian kali kedua ini, pelbagai barangan kesayangan termasuk kelengkapan sekolah anak-anak rosak dan dihanyut air.

“Kami sekelurga tidak mampu berbuat apa-apa kerana hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dengan berada di kawasan selamat secepat mungkin,” katanya.
Tinjauan pemberita Teganukita mendapati semua kanak-kanak mangsa banjir sibuk menyertai pelbagai aktiviti seperti mewarna, melukis, bermain catur dan membaca anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM menghantar tiga kakitangan untuk mengurus aktiviti itu semata-mata menghilangkan rasa bosan ketika berada di pusat pemindahan banjir.