Halaman

27 March 2011

Pulau Warisan destinasi pelancongan baru

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM60 juta untuk membangunkan Pulau Warisan yang terletak bersebelahan Kampung Cina di muara sungai Terengganu di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw, berkata pulau buatan seluas enam hektar yang dibangunkan tiga tahun lepas itu merupakan destinasi pelancongan terbaru di negeri ini.


"Kewujudan Pulau Warisan bagaikan satu bonus bagi masyarakat Terengganu untuk beristirehat dan beriadah bersama keluarga di mana sebelum ini hanya bertumpu di Pantai Batu Buruk, Taman Shah Bandar dan Taman Rekreasi Pulau Kambing.

“Tidak mengira waktu sama ada siang atau malam, Pulau Warisan yang dijadikan kawasan santai dan tapak pelbagai program sentiasa dipenuhi pengunjung,” katanya ketika dihubungi Teganukita, baru-baru ini.

Tinjauan pemberita Teganukita mendapati pelancong rata-rata mengemari kawasan itu kerana mudah untuk mendapat tempat letak kereta yang disediakan pihak berkuasa tempatan lebih 300 lot, mempunyai pondok istirehat, gerai makan dan perhidmatan bot cruise atau dikenali `night river cruise’.

Destinasi itu cukup berbeza berbanding pusat pelancongan atau taman reakreasi lain, kerana menampilkan keunikan tersendiri, termasuk terpaksa melalui jejantas, diterangi lampu jalan apabila tiba waktu malam dan mempunyai terusan untuk laluan bot cruise.

YB Toh Chin Yaw, berkata kewujudan Pulau Warisan bukan sahaja dapat menaikkan imej Terengganu di mata pelancong malah memberi kemudahan kepada masyarakat setempat untuk beristirehat.

Katanya, jika mereka mempunyai kenalan atau saudara yang tinggal di luar Terengganu atau mana-mana negara seperti Singapura, China, Thailand dan Indonesia, Pulau Warisan adalah lokasi terbaik untuk diperkenalkan.

“Saya percaya mereka tentu seronok mengunjungi lokasi ini kerana ia menampilkan kelainan berbanding lokasi pelancongan lain, mereka dapat menaiki bot cruise, merasai udara segar dan paling penting dapat bertukar pandangan dengan pelbagai kaum.

“Bersebelahan Pulau Warisan, terdapat perkampungan kaum cina atau turut dikenali sebagai Kampung Cina, Pasar Besar Kedai Payang, Bukit Puteri dan oleh masyarakat setempat, sekaligus membuat kawasan itu begitu unik dengan penduduk,” katanya.