Halaman

26 March 2011

Khabar gembira buat persatuan belia

oleh: Aida Abd Rahman

Setiap pesatuan belia di negeri bakal menerima peruntukan khas daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sempena Hari Belia Peringkat Negeri Terengganu yang dijangka berlangsung pada Mei ini.

Peruntukan itu sebagai satu usaha menyelesaikan masalah `kemalapan’ pergerakan persatuan belia yang dikatakan hanya ada pada nama, namun gagal bergerak aktif berikutan tiada sumber kewangan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata kerajaan negeri memutuskan menyediakan bajet khas bagi diagihkan kepada setiap persatuan belia yang berdaftar menerusi Pejabat Perdaftar Pertubuhan supaya mereka mampu bergerak aktif semula.

“Galakan dan suntikan dana penting bagi memastikan persatuan belia tidak hanya ada pada nama, namun malap dan tidak aktif dalam menjalankan aktiviti berfaedah kepada ahli khususnya melibatkan golongan muda-mudi di kampung atau di peringkat akar umbi,” katanya.

Jumlah peruntukan yang bakal diterima setiap persatuan itu akan diumumkan di majlis pengagihan itu kelak.

Selain itu, beliau berkata menerusi Jabatan Belia dan Sukan Terengganu (JBST), kerajaan negeri yakin dapat mencapai sasaran untuk mewujudkan 1,000 pertubuhan belia di seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.
Sehingga kini, terdapat 436 persatuan belia di negeri ini dengan keahlian 30,000 orang yang bergerak bersama masyarakat setempat.

“Oleh itu, kerajaan negeri menerusi JBST, Majlis Belia Negeri Terengganu akan menggempur usaha bagi mencapai sasaran 1,000 pertubuhan belia penghujung tahun ini sekaligus mampu mengurangkan masalah sosial di kalangan generasi muda di negeri.

“Satu JKKK, Satu Belia dapat mengelakkan remaja yang keciciran terutama mereka yang gagal dalam pelajaran, gagal melanjutkan pelajaran di universiti dan tidak mempunyai pekerjaan yang baik supaya mempunyai platform terbaik untuk melakukan perkara yang berfaedah,” katanya.

Malah, JBST juga menerima peruntukan RM300,000 dari Kementerian Belia dan Sukan untuk menjalankan aktiviti latihan dan kepimpinan kepada belia negeri ini sehingga Jun ini termasuk menggariskan beberapa program kursus dan latihan untuk memantapkan kepimpinan belia di kawasan masing-masing.

Antaranya meneruskan program k-bestari bagi melatih belia yang berminat dalam bidang keusahawanan mengikuti kursus dan latihan di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) selama enam bulan.