Kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan bagi meringankan beban golongan miskin, terutama ibu tunggal agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin.
Langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai anak masih bersekolah mampu menjalani kehidupan lebih berkualiti dan tidak tercicir daripada pelajaran.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad berkata melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) banyak program disediakan khusus kepada ibu tunggal untuk berdikari.
“Di samping bantuan berbentuk kewangan, barangan, kursus kemahiran juga ditawarkan bagi membantu golongan berkenaan membuka perniagaan kecil-kecilan serta kemahiran menjahit pakaian dan sebagainya,” katanya pada majlis Bicara Bersama Media sempena tiga tahun ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’ di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu.
Katanya, pada masa ini kira-kira 20,000 ibu tunggal berdaftar di seluruh negeri dan kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam soal kebajikan dan keperluan anak-anak di bawah tanggungan mereka.
“Di YPK juga disediakan pakar motivasi bagi sesi pemulihan emosi terutama mereka yang menghadapi tekanan perasan selepas kehilangan orang tersayang atau berhadapan masalah mendidik- anak-anak di zaman yang mencabar ini ,” katanya.
YB Yahya menegaskan kerajaan sebenarnya tidak pernah mengabaikan golongan rakyat bermasalah sebaliknya menyediakan ruang dan peluang seluas-luasnya bagi membantu meringankan beban mereka.