Halaman

20 March 2011

YPU ubah struktur pentadbiran

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) giat mengadakan pemantauan terhadap semua rangkaian perniagaan T’Shoppe di negeri ini, bagi memastikan ia mencapai had jualan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, pelbagai langkah dilakukan,termasuk mengubah struktur pentadbiran YPU agar ia mencapai had jualan rangkaian kedai tersebut selain membolehkan tugas hakiki berjalan lancar.

Katanya, pegawai YPU akan `turun padang’ bagi melihat kaedah yang dilaksanakan di 17 rangkaian T’Shoppe tempatan dan tiga lagi yang beroperasi di luar Terengganu .
“Sekiranya terdapat kelemahan dan kurang mendapat sambutan pelanggan, pelbagai perubahan akan dilaksanakan termasuk mempergiatkan promosi supaya pelanggan terus berbelanja di T’Shoppe.

“Pendekatan itu nyata memberi kesan apabila terdapat T’ Shoppe mampu mencapai sasaran yang diinginkan iaitu melebihi RM3,500 sehari,” katanya.

Dato’ Haji Mohamed berkata, jumlah kutipan jualan T’Shoppe bergantung kepada keadaan semasa dan lokasi kebiasaanya memperoleh antara RM1,500 hingga RM3,500 sehari.
T’Shoppe Kuala Berang antara rangkaian paling laris dan mendapat pandapatan kasar lebih RM100,000 sebulan.

Pelbagai jenis makanan tradisional seperti keropok sira, buah rotan, gula-gula `nisan’, kerepek ubi dan kerepek pisang terdapat di T’ Shoppe bagi memudahkan pelancong tempatan dan luar negara mendapat produk Terengganu.

“Langkah yang dilaksanakan ini nyata dapat membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing di mana sebelum ini sukar untuk berbuat demikian kerana mendapat syarat ketat dari pasar raya ternama tempatan,” katanya.