Sesi Interview Pelajar Cemerlang SPM 2010
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan hari ini (23 Mac) membuktikan Terengganu terus cemerlang apabila 17 pelajar diumumkan mendapat keseluruhan A+ dalam setiap subjek yang diambil berbanding hanya lima pelajar pada 2009.
Seorang daripada pelajar cemerlang itu, Faizah Omar, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, Kuala Terengganu mempunyai kisah menarik di sebalik kejayaannya memperolehi 11A+ dalam peperiksaan itu.
Faizah yang ditemani ibunya, Farinah Tan Abdullah, 54, dari Kampung Teluk Pasu, Manir, berkata dia memberi tumpuan penuh dan berusaha dengan gigih dalam pelajaran serta mengambil keputusan untuk tidak mengikuti tuisyen di luar sekolah kerana yakin dengan sistem dan perancangan yang dilaksanakan pihak sekolah dalam memastikan kejayaan pelajar-pelajarnya.
17 pelajar yang telah mengharumkan nama negeri dengan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2010. - Foto : Haris Fadzillah.
“Saya sentiasa mengikut arahan dan pesanan guru selain sentiasa meluangkan masa bertanya guru apabila timbul masalah dalam pelajaran. Selain tekun belajar, saya juga tidak lupa menyuburkan jiwa dengan solat hajat dan sentiasa mengamalkan bacaan Yaasin sebagai amalan harian,” katanya.
Anak bongsu daripada sembilan beradik itu juga menjadikan ibunya, seorang ibu tunggal sebagai sumber inspirasi dan dorongan paling kuat untuknya menghasilkan kejayaan.
Katanya, kejayaan itu sebagai hadiah berharga supaya ibunya gembira selain tidak mahu menghampakan harapan wanita gigih yang sudah banyak berkorban demi membesarkan dia dan lapan adik beradik yang lain itu, selepas kematian bapa akibat penyakit tumor 11 tahun lalu.
“Kejayaan semua abang dan kakak dalam pelajaran dan kebanyakannya sudah menjawat jawatan yang baik dalam profesion masing-masing juga mendorong saya untuk meneruskan kesinambungan kejayaan itu,” katanya.
Anak pertama dalam keluarga Faizah bekerja sebagai guru di Kelang, kedua pengurus besar (syarikat swasta), anak ketiga hingga kelima bekerja sebagai jurutera di syarikat korporat, keenam pelajar Universiti Teknologi Mara dan sedang menjalani praktikal di Hospital Selayang, ketujuh pelajar perubatan (Universiti di Poland) dan kelapan belajar di Universiti Perguruan Sultan Idris.
Sementara ibu Faizah, Farinah berkata selain didikan agama dan sentiasa mendekati anak-anaknya untuk memberi perangsang mereka belajar dengan baik, dia juga tidak pernah memberikan sebarang ganjaran apabila anak-anaknya menunjukkan keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.
YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said menandatangani komputer riba hadiah dari kerajaan negeri untuk pelajar cemerlang SPM.
“Saya tidak pernah memberikan sebarang habuan atas kejayaan anak-anak. Mereka buat dengan gigih dan ikhlas tanpa apa-apa balasan dan Alhamdulillah anak bongsu saya meneruskan kejayaan itu. Inilah hadiah pertama yang diterima dan diberikan kepada saya, “ katanya sambil merujuk hadiah komputer riba yang baru diterima Faizah daripada Menteri Besar sebagai anugerah berikutan kecemerlangan dalam peperiksaan itu.
Kegembiraan itu turut dikongsi rakan baiknya, Nur Zulaikha Ismail, juga pelajar SMKA Tok Jiring yang turut mendapat 11A+ serta muncul antara pelajar terbaik SPM 2010 seluruh negara.
“Saya tetapkan azam dan tekad untuk berjaya demi menggembirakan kedua-dua ibu bapa. Bapa, Ismail Othman, 52, bekerja sebagai buruh di Kilang Papan Wakaf Tengah, sementara ibu, Rudina Awang, 48, hanya seorang surirumah adalah pendorong utama saya untuk mencipta kejayaan ini.
“Saya tidak mahu menjadikan kesusahan hidup sebagai penghalang kejayaan dan menganggap kekayaan bukanlah cagaran untuk menempa kejayaan. Saya juga bertekad untuk membaiki kehidupan dan keluarga pada masa depan,” katanya yang memberi tumpuan penuh kepada peperiksaan SPM sejak Tingkatan Empat lagi.